Alasan Batal Permit Tak Munasabah - Azmin

Diterbitkan: Isnin, 3 April 2017 9:01 AM

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Alasan pembatalan permit debat antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz disifatkan tidak munasabah.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, alasan kononnya terdapat bantahan daripada penduduk setempat adalah tidak munasabah jika mengambil kira lokasi debat serta aspek keselamatan yang diaturkan oleh pihak penganjur.

“Saya tidak faham mengapa permit itu dibatalkan kerana alasan yang diberikan amat tidak munasabah.

“Kononnya ada penduduk yang membantah, sedangkan kawasan itu tidak berdekatan dengan kawasan perumahan dan ianya (debat) berada dalam satu suasana di dalam bangunan, bukan di tempat terbuka dan tidak ada sebab (untuk batalkan),” katanya.

Mohamed Azmin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Perasmian Festival Smart Trak Selangor 2017 dan Pelancaran Garis Panduan Trak Bergerak (Makanan, Barangan dan Perkhidmatan) Peringkat Negeri Selangor, malam Ahad.

Katanya lagi, pembatalan permit berkenaan juga menunjukkan kebimbangan kerajaan persekutuan dalam soal pembongkaran skandal 1MDB.

Pada Sabtu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob mengumumkan pembatalan dialog berkenaan setelah pihaknya menerima surat pembatalan permit daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat. -Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: permit debat , Azmin Ali , Tun M

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan