Skim Visa Baharu Tarik Pelancong Dari India

Diterbitkan: Ahad, 2 April 2017 9:45 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Namaste, India! Ucapan aluan-aluan tradisi itu akan diberikan kepada India di mana Malaysia merancang meningkatkan sektor pelancongannya dengan menawarkan skim visa lebih murah dan mudah.

Langkah ini diambil apabila Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjangkakan pelancongan India bakal mencapai 50 juta lawatan keluar pada tahun 2020 dengan jumlah perbelanjaan dijangka melebihi paras AS$28 bilion (RM123.9 bilion).

Skim itu yang diumumkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke India menyaksikan pelancong India hanya membayar AS$20 (RM88.50) sebagai bayaran pemprosesan visa 15 hari ke Malaysia.

Visa adalah percuma.

Dilaporkan bahawa syarikat yang sebelum ini menguruskan aplikasi e-visa telah mengenakan bayaran tambahan berjumlah RM270 untuk setiap permohonan selain daripada RM108 yang perlu dibayar kepada kerajaan Malaysia dan India, menjadikan jumlah keseluruhan RM378.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Hamzah Rahmat berkata dengan skim visa baharu itu, Malaysia boleh menjangkakan sekurang-kurangnya satu juta pelancong India untuk datang ke sini, berbanding 722,141 pada 2015 dan 638,578 pada 2016.

Satu laporan oleh FCM Travel Solutions India menjangkakan bahawa India boleh menjadi negara kedua selepas China dalam perbelanjaan dengan tujuan perniagaan dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi.

Hamzah berkata proses permohonan visa adalah salah satu halangan untuk pelancong India yang ingin melawat ke sini.

Dengan peraturan baharu itu, beliau berkata pelancong India boleh memohon visa sendiri tanpa perlu melalui pihak ketiga.

"Bukan soal harga semata-mata, tetapi yang penting kemudahan mendapatkan visa.

"Pengunjung mahukan perkara-perkara yang memudahkan diri mereka, termasuk tidak perlu menghantar pasport ke kedutaan untuk membuat permohonan," katanya.

Hamzah memetik kes pelancong dari China di mana angkanya meningkat sejak Malaysia menjadikan proses mendapatkan visa lebih mudah.

Terdapat seramai lebih dua juta pelawat dari China pada tahun lepas dengan Malaysia menyambut baik kunjungan 26,757,392 pelancong dan memperolehi pendapatan pelancongan sebanyak RM82 bilion.

Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dilaporkan berkata Malaysia menyasarkan untuk menarik 31 juta pelancong dan RM114  bilion perbelanjaan tahun ini.

Dua minggu lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata skim baharu itu akan menyaksikan pelancong India hanya membayar AS$20 untuk visa 15 hari.

Beliau semasa lawatannya ke India pada Februari juga berkata negara ini menjadi negara keenam bagi sumber pasaran pelancongan utama Malaysia.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Tan Sri Kenneth Eswaran, yang berada di New Delhi untuk lawatan Najib gembira dengan skim baharu untuk menarik pelancong India itu.

"India membelanjakan jumlah wang yang besar terhadap pelancongan perubatan dan pakej perkahwinan di luar negara," katanya.

Kerajaan Malaysia, katanya, telah melakukan perkara yang betul.

Beliau berkata, promosi pelancongan perubatan telah dibangkitkan semasa pertemuan Najib dengan pemimpin India industri anjuran MAICCI di Chennai pada Jumaat.

Tags / Kata Kunci: pasport India , visa India

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan