Khidmat Kontraktor Terlibat Kes Keracunan Makanan Tamat Serta-Merta

Diterbitkan: Ahad, 2 April 2017 1:40 PM

Datuk Seri Mahdzir Khalid

(Ubah saiz teks)

Dikemaskini

JITRA: Kementerian Pendidikan akan menamatkan serta-merta khidmat kontraktor Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di sekolah berasrama sekiranya didapati menjadi punca kepada kes keracunan makanan.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian akan memasukkan klausa itu dalam kontrak untuk pengendali serta pembekal makanan dan ia merupakan satu daripada tiga penambahbaikan skop dan spesifikasi bagi kontrak BMB yang akan berkuat kuasa 1 Jun ini.

"Sebelum ini, kita biasanya akan membuat jawatankuasa khas yang akan menyiasat kes tersebut dan perlu melalui beberapa peringkat penilaian.

"Selepas ini kontraktor yang disahkan Kementerian Kesihatan bahawa kes keracunan makanan itu berpunca daripada kontraktor itu, mereka boleh ditamatkan kontraknya serta-merta," katanya selepas melakukan lawatan khas ke Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu dekat sini Ahad.

Ketika ini terdapat 1,310 kontrak BMB membabitkan sekolah berasrama penuh, sekolah harian dan asrama desa.

Jelasnya, kementerian perlu mengambil langkah itu bagi mengelakkan kes keracunan makanan berulang memandangkan berlaku peningkatan 35 kes keracunan iaitu 98 kes tahun lepas, berbanding tahun sebelumnya.

"Hasil siasatan Kementerian Kesihatan mendapati antara punca berlakunya masalah itu adalah disebabkan oleh makanan yang disediakan di dapur asrama," katanya.

Turut ditambah baik ialah kriteria pelantikan jawatan pengurus dan penyelia makanan yang bergantung kepada kategori sekolah; misalnya bagi sekolah kategori A iaitu yang mempunyai murid melebihi 600 orang, pengurus makanan perlu mempunyai diploma dalam bidang berkaitan dan tiga tahun pengalaman bekerja dalam bidang teknologi makanan.

"Kementerian turut membuat keputusan memberi peluang kepada kontraktor melanjutkan tempoh kontrak pembekalanan makanan dari dua kepada tiga tahun tertakluk kepada prestasi kontraktor dan pengesyoran pihak sekolah," katanya.

Dalam pada itu, kementerian juga kata Mahdzir mengambil inisiatif meningkatkan standard keselamatan penyediaan makanan di sekolah melalui program Rintis Pensijilan Amalan Pengilangan yang Baik (GMP) bagi dapur dewan makan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Ia merupakan usaha sama antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan melibatkan tiga buah SBP iaitu Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya; Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya sebelum ia diperluaskan ke SBP lain di seluruh negara.

Pensijilan GMP diberi kepada premis makanan yang melaksanakan sistem kawalan keselamatan makanan melalui pelaksanaan amalan baik untuk menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti.

Terdahulu, dalam ucapannya Mahdzir berkata kementerian memperuntukkan RM5 juta tahun ini untuk diagihkan kepada pelajar miskin di bawah Projek Khas SBP dan ia memberi manfaat kepada 36,000 pelajar.

Bagi SBP di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, sejumlah RM401,564 telah diagihkan kepada 906 murid miskin bagi meringankan beban ibu bapa murid berkenaan untuk membiayai perbelanjaan pelajar, katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM1.67 juta kepada 69 SBP yang terlibat, selain menyumbang RM50,000 kepada Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu bagi tujuan penyelenggaraan sekolah. -- Bernama

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan