SPRM Jejaki 'Klien' Tan Sri

Diterbitkan: Sabtu, 1 April 2017 9:27 AM

Ahli perniagaan bergelar Tan Sri menutup mukanya ketika dibawa ke mahkamah majistret Putrajaya.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Selepas penahanan seorang lelaki bergelar Tan Sri yang didakwa cuba merasuah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebanyak RM2 juta, lebih ramai individu yang 'dibantu' untuk mendapatkan penganugerahan gelaran dan darjah kebesaran akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Kebanyakan mereka dikatakan sebagai klien kepada lelaki yang ditahan itu. 

Mereka antara 15 atau lebih individu yang akan dipanggil SPRM yang sedang merungkai kegiatan lelaki tersebut termasuk dakwaan dia bertindak sebagai 'broker' untuk penganugerahan gelaran dan darjah kebesaran.

Sumber SPRM memberitahu The Star bahawa mereka menerima maklumat tentang mereka yang berunding dengan ahli perniagaan tersebut dan akan menghubungi mereka untuk diambil keterangan.

"Kami menerima beberapa maklumat. Kami tahu mereka yang mendapatkan bantuan untuk penganugerahan gelaran dan darjah kebesaran. Mereka perlu tampil dan memberikan maklumat kepada kita," kata sumber itu.

Namun, sumber SPRM mengunci mulut ketika ditanya sama ada Sultan Ibrahim akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes itu.

Pada Sabtu lalu, Sultan Ibrahim mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran 'Tan Sri' daripada Yang Di-Pertuan Agong.

Seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun direman selama lima hari sehingga 4 April untuk membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

Dia dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada pukul 9.30 pagi Jumaat dengan diiringi pegawai SPRM dan dibawa ke mahkamah majistret di sini.

Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman mengeluarkan perintah reman ke atas lelaki tersebut.

Lelaki bergelar Tan Sri itu diwakili peguam Datuk K Kumaraendran, JR Tey dan Datuk Joshua Kevin.

Tags / Kata Kunci: Sultan Johor , Tan Sri , rasuah , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan