Tanah Rizab Melayu Seluruh Negara Seluas 4 Juta Hektar

Diterbitkan: Rabu, 29 Mac 2017 2:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tanah rizab Melayu di seluruh negara dianggarkan seluas empat juta hektar sehingga Oktober tahun lepas, meningkat sebanyak 10 peratus daripada 2008.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri berkata jumlah tersebut diperoleh melalui Jawatankuasa Pemandu Urusan Data Tanah Rizab Melayu Semenanjung Malaysia.

"Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut kini sedang giat mengumpul data yang tepat mengenai tanah rizab tersebut daripada pihak kerajaan negeri," katanya menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) mengenai jumlah rizab tanah Melayu yang masih tinggal.

Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham yang bertanyakan usaha kerajaan membantu membangunkan tanah rizab Melayu, Hamim berkata kerajaan sentiasa berusaha ke arah itu.

Namun, katanya ia bergantung kepada potensi dan keadaan sesuatu tanah rizab seperti keluasan, kedudukan selain sama ada terdapat tuntutan bertindih ke atas tanah itu.

"Bantuan yang kerajaan sediakan sentiasa terbuka, contoh yang paling hampir adalah tanah di lot-lot yang sangat kompleks seperti di Kampung Baru. Kalau tanah-tanah kecil, tengok jenis pembangunan yang boleh dibangunkan," katanya.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan