Pengasas Valet Doa Mengaku Disiasat Pihak Berkuasa Agama

Diterbitkan: Rabu, 29 Mac 2017 4:12 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengasas kiriman 'doa berbayar' ke Makkah, Valet Doa yang diarah menghentikan operasi mengaku disiasat pihak berkuasa agama negeri susulan promosi perkhidmatan yang diperkenalkan menerusi laman sosial Facebook, Februari lalu.

Mohd Nasrin Harin berkata, beliau telah hadir memberi penjelasan selama kira-kira sejam kepada pihak berkuasa agama awal bulan ini bagi membantu siasatan ke atas perkhidmatan membacakan doa orang ramai di Makkah yang diperkenalkannya itu.

"Saya telah dipanggil pada awal bulan ini kerana mereka (pihak berkuasa) ada terima laporan dan aduan, jadi mereka buat siasatan.

"Mereka tanya saya soalan-soalan untuk dapatkan maklumat tentang Valet Doa dan setakat ini masih di peringkat siasatan," katanya kepada mStar Online, Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan lebih lanjut tentang pihak berkuasa agama yang menjalankan siasatan itu.

Menurut Mohd Nasrin, telefon bimbit dan komputer ribanya telah 'dipegang' sementara oleh pihak berkuasa berkenaan yang berjanji akan memulangkannya apabila siasatan itu selesai dalam masa empat hingga lima bulan lagi.

Beliau juga akur dengan keputusan kerajaan supaya operasi Valet Doa dihentikan, seperti mana kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa laman Facebook Valet Doa telah diarah menghentikan operasi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Mufti Selangor.

Pada Rabu, Jamil Khir yang menjawab soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) mengenai Valet Doa di Parlimen berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau akaun Facebook pengasas Valet Doa.

Perkhidmatan Valet Doa mula tular di laman sosial pada Februari dan ramai netizen mengecam dan kesal dengan perkhidmatan itu yang didakwa berbentuk perniagaan, kononnya ditawarkan kepada mereka yang tidak mampu ke Tanah Suci.

Menurut bekas kontraktor berusia 40 tahun itu, beliau terpaksa akur apabila diminta menghentikan operasi Valet Doa dan kini menjalankan perniagaan lain secara dalam talian sebagai sumber pendapatan.

"Kalau tengok di Facebook, operasi Valet Doa sudah perlahan.

"Saya tunggu pencerahan pihak berkuasa agama, kalau tak ada masalah saya akan teruskan, tapi buat masa sekarang saya ikut nasihat mereka," katanya.

Bagaimanapaun, Mohd Nasrin berkata, laman Facebook Valet Doa tidak akan ditutup, sebaliknya ia akan digunakan untuk menyampaikan ilmu atau mesej dakwah kepada masyarakat beragama Islam.

Jelasnya, ini selaras dengan objektif Valet Doa itu sendiri yang tidak semata-mata memberi fokus kepada khidmat membacakan doa orang ramai di Makkah.

"Saya masukkan posting berkaitan al-Quran dan hadis, ilmu-ilmu asas agama, termasuklah posting berkaitan doa. Saya buat posting asas dan ringkas saja sebab ia disasarkan untuk mereka yang rendah pengetahuan agama, dakwah yang berat biarlah pihak berkuasa agama yang buat," katanya.

Mengenai sambutan atau respons orang ramai terhadap dirinya dan juga perkhidmatan Valet Doa, Mohd Nasrin berkata, beliau masih menerima pertanyaan, malah ada yang menghantar mesej berbentuk sokongan kepadanya.

Namun, di sebalik mesej yang diterimanya, beliau turut mengakui masih menerima mesej-mesej berbentuk kecaman dan kritikan daripada golongan yang dianggapnya sebagai tidak cukup faham tentang konsep kiriman doa yang diperkenalkannya itu.

"Mesej yang marah dan kecam saya masih ada cuma tak sebanyak dahulu. Mungkin sebab saya telah beri penerangan dan buat kenyataan media di Facebook Valet Doa dan orang ramai mula faham," katanya.


iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan