Had Usia Beli, Jual Rokok Dicadang Dinaikkan Kepada 21 Tahun

Diterbitkan: Selasa, 28 Mac 2017 2:36 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Had usia membeli dan menjual rokok dicadang dinaikkan kepada 21 tahun berbanding 18 tahun ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata perkara itu merupakan antara intipati cadangan dimasukkan dalam undang-undang baharu yang akan dibentang di Dewan Rakyat selewat-lewatnya tahun hadapan.

"Kita telah cadang dan menyerahkan kepada pegawai undang-undang kita untuk dikaji dan urusan telah dibuat dengan semua pemegang taruh," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) berkenaan usaha kerajaan menangani fenomena perokok pasif.Perokok pasif ialah mereka yang tidak merokok namun menghirup asap rokok daripada mereka yang merokok di sekitarnya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sedang melihat cara pengiklanan syarikat rokok khususnya di premis menjual makanan.

"Kalau kita pergi kedai nasi kandar sebagai contoh, di belakang kaunter ada penuh rokok, ini kita sedang kaji sama ada boleh masuk dalam akta baharu ini, larangan meletak rokok di belakang kaunter sebagai iklan," katanya.

Menurut Dr Hilmi, kawalan hasil tembakau pada masa ini tertakluk di bawah Akta Kawalan Makanan 1983.

Menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) mengenai sejauh mana kejayaan kempen anti merokok dijalankan kerajaan, Dr Hilmi berkata kajian mendapati kadar penurunannya tidak signifikan.

Beliau berkata Tinjaun Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati trend merokok dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas adalah 24 peratus berbanding dapatan NHMS 2011 iaitu 24.6 peratus.

"Saya mengakui kempen kurang berjaya, beza sikit sangat, 0.6 peratus amat rendah, bagaimanapun kita takkan putus asa," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: had usia , rokok , Kementerian Kesihatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan