Mangsa Culik Tidak Sabar Mahu Pulang

Diterbitkan: Selasa, 28 Mac 2017 11:11 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: "Kami bertiga mahu pulang secepat mungkin."

Demikian luahan Fandy Bakran yang merupakan antara tiga rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada militan Abu Sayyaf pada Ahad selepas dijadikan tebusan selama lapan bulan.

Selain Fandy, dua lagi rakannya, Jumadil Mohamad Rahim dan Mohd Ridzuan Ismail menyuarakan hasrat mereka itu ketika diwawancara bersama media Filipina di Zamboanga Citu seperti yang dimuat naik dalam laman sosial Twitter.

Ketiga-tiga mereka kelihatan cengkung dan memakai baju biru dalam video berkenaan.

"Kami juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat untuk menyelamatkan kami termasuk pasukan keselamatan Filipina," katanya.

Mereka bertiga diselamatkan dalam operasi ketenteraan Filipina menentang militan Abu Sayyaf dan dibawa ke Hospital Tentera di Jolo untuk menjalani rawatan.

Wisma Putra menerusi kenyataan pada Selasa berkata, Kedutaan Malaysia di Manila telah diarahkan untuk bekerjasama dengan Kelab Putera 1Malaysia bagi membawa pulang ketiga-tiga mangsa culik itu.

Kenyataan itu turut menyampaikan rasa terima kasih kepada usaha kerajaan Filipina untuk menyelamatkan tebusan tersebut.

Tiga rakyat Malaysia itu bersama dua lagi mangsa, Abdul Rahim Summas dan Tayudin Anjut, diculik militan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven, Lahad Datu pada 18 Julai tahun lalu.

Tayudin dan Abdul Rahim diselamatkan pada Khamis lalu menerusi operasi tentera Filipina dan selamat pulang ke tanah air.

Kepulangan mereka disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di kediaman beliau di Kuala Lumpur pada Isnin.


Tags / Kata Kunci: Abu Sayyaf

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan