Black Eagles 'Gegar' Ibu Kota Esok - Berita Semasa | mStar

Black Eagles 'Gegar' Ibu Kota Esok

Diterbitkan: Selasa, 28 Mac 2017 5:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sembilan pesawat pejuang jenis KAI-TB50 milik Tentera Udara Republik Korea akan 'menggegarkan' ruang udara Kuala Lumpur pada Rabu.

Pesawat pasukan aerobatik Black Eagles dari republik itu mendapat perhatian ramai ketika pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi 2017 (LIMA'17) yang melabuhkan tirainya Sabtu lepas.

Menurut kenyataan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini, pasukan Black Eagles akan melakukan terbang lintas selama 15 minit di ruang udara ibu negara.

"Terbang lintas itu bermula pada 10.30 pagi dan dijangka berakhir sekitar 10.45 pagi. Pasukan terbabit akan turut melintasi Menara Berkembar Petronas di ibu kota," tambah kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung situasi berkenaan.

"Dengan terbang lintas ini, orang ramai berpeluang menyaksikan kumpulan pesawat aerobatik Black Eagles yang telah membuat pertunjukan udara di LIMA'17 baru-baru ini," kata kenyataan itu.

Black Eagles yang pertama kali tampil di LIMA adalah antara pasukan aerobatik yang mencuri tumpuan ketika pertunjukan udara LIMA'17 pada 20 hingga 25 Mac lalu, selain Russian Knights dari Tentera Udara Rusia (RAF) dan Jupiter dari Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU). - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Black Eagles , Korea
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan