Najib Bersyukur Dua Mangsa Culik Abu Sayyaf Pulang Dengan Selamat

Diterbitkan: Isnin, 27 Mac 2017 10:07 AM

NAJIB meluangkan masa bersama dua mangsa culik, Tayudin Anjut (atas kerusi roda) dan Abd Rahim (paling kiri) yang diselamatkan daripada kumpulan militan Abu Sayyaf.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas lapan bulan menjadi tebusan, dua rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada kumpulan pengganas Abu Sayyaf akhirnya bersatu kembali dengan keluarga masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyambut kepulangan mereka di kediaman beliau di Jalan Duta, berkata, tiada wang tebusan dibayar kepada kumpulan pengganas itu untuk membawa mereka pulang.

"Kita bersyukur mereka dapat kembali selepas lapan bulan dan selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Mereka menceritakan penderitaan yang dilalui dan saya dimaklumkan tentang tekanan yang dihadapi keluarga mangsa sepanjang tempoh mereka ditahan," kata Najib.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa, Abd Rahim Summas, 62, dan Tayuddin Anjut, 45, masing-masing mengalami beberapa kecederaan yang perlu dirawat.

"Tayuddin mengalami masalah dengan penglihatannya dan memerlukan pembedahan manakalan Abd Rahim tidak mampu berjalan disebabkan masalah pada kakinya.

"Kita telah menguruskan untuk mereka agar dirawat di wad kelas pertama di Hospital Selayan dan mengerahkan doktor pakar bagi merawat kecederaan mereka," katanya.

Najib menambah, kerajaan dan polis kini sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan tiga lagi rakyat Malaysia, Mohd Ridzuan Ismail, 32, Fandy Bakran, 26 dan Mohd Zumadi Rahim, 23, dibawa pulang.

"Kepada mereka (bertiga), saya harap mereka terus bertahan dan menguatkan diri. Kita akan membawa mereka pulang dengan selamat secepat mungkin," katanya.

Abd Rahim dan Tayuddin antara lima anak kapal tunda yang diculik di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai lalu.

Tiga lagi anak kapal yang berasal dari Tawau, masih dijadikan tebusan oleh Abu Sayyaf.


Tags / Kata Kunci: Najib Razak , Abu Sayyaf

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan