Bahan Api Di Bandar Lebih Murah?

Diterbitkan: Isnin, 27 Mac 2017 7:38 AM

ron95

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengguna jalan raya di kawasan bandar mungkin akan mendapat harga diskaun bagi bahan api daripada pengusaha petrol apabila sistem pengumuman harga mingguan bermula pada Rabu, kata Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, diskaun itu sejajar dengan pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata, pengusaha stesen minyak boleh mengikut harga siling yang ditetapkan di bawah sistem baharu, atau menawarkan harga bahan api lebih rendah untuk tujuan promosi, dengan syarat mereka mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada kementerian.

Di bawah sistem baharu, harga bahan api mingguan akan diumumkan setiap Rabu dan harga baharu akan dikuatkuasakan pada hari berikutnya.

Ditanya mengenai kadar diskaun, Khairul berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakannya kerana pengusaha stesen minyak masih belum diberi taklimat mengenai mekanisme baharu.

"Kita tidak tahu berapa banyak diskaun kita boleh mohon dan untuk berapa lama. Sama ada kita boleh memohon untuk sepanjang tahun, hanya sekali, atau untuk tempoh yang singkat," kata Khairul, sambil menambah bahawa peniaga menjangkakan kementerian memberi taklimat kepada mereka menjelang rabu.

Khairul berkata, pengusaha stesen minyak di bandar mungkin dapat menawarkan harga petrol yang lebih rendah untuk tujuan promosi, tetapi pengusaha stesen minyak di luar bandar tidak mampu untuk berbuat demikian disebabkan jumlah jualan lebih rendah.

Beliau menjelaskan bahawa beberapa pengusaha stesen minyak di luar bandar membuat keuntungan bulanan antara RM4,000 dan RM6,000.

"Seseorang pengusaha yang memperuntukkan 300,000 liter petrol sebulan dan menawarkan diskaun satu sen akan menyaksikan keuntungan menurun sebanyak RM3,000.

"Jika mereka memberi diskaun dua sen, mereka tidak akan memperoleh keuntungan."

Pengusaha stesen minyak, Datuk Abu Samah Bachik berkata, ramai pengusaha kini bimbang mengenai sistem baharu kerana mereka masih tidak mendapat gambaran yang jelas.

"Ia bukan sahaja tentang peniaga. Syarikat-syarikat minyak perlu bersetuju mengenai sebarang diskaun kerana mereka yang akan memberitahu kita harga yang boleh djual," katanya.

Dengan sistem baharu yang hanya beberapa hari lagi akan dilaksanakan, Abu Samah berkata, tiada syarikat-syarikat minyak membuat persiapan seperti menyediakan papan tanda elektronik untuk memaparkan harga mingguan di stesen mereka.

Satu lagi isu yang perlu ditangani adalah penetapan harga.

"Saya anggap syarikat-syarikat minyak akan dapat membuat keputusan mengenai berapa banyak diskaun untuk ditawarkan semasa tempoh promosi.

"Tetapi jika semua menawarkan diskaun yang sama, adakah mereka kemudiannya akan didakwa bersekongkol kerana menetapkan harga yang melanggar Akta Persaingan?" soal Abu Samah.

Tags / Kata Kunci: PDAM , bahan api , stesen minyak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan