Pelajar Malaysia Antara Terbaik Di Universiti Poland - Duta

Diterbitkan: Ahad, 26 Mac 2017 2:15 PM

GAMBAR HIASAN

(Ubah saiz teks)

WARSAW: Pelajar Malaysia mempamerkan prestasi cemerlang di universiti Poland hingga menarik perhatian banyak pihak, kata Duta Besar Malaysia di Poland, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Menurut Ahmad Fadil, perkara itu juga sering menjadi sebutan para pegawai kanan Pejabat Presiden dan Kementerian Luar Poland pada pelbagai majlis yang dihadiri beliau.

Malaysia dan Poland mempunyai hubungan rapat sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada 1971. Poland membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1977, manakala Malaysia pula menubuhkan kedutaannya di Warsaw pada 1978. 

Bagaimanapun, menurut Ahmad Fadil, banyak lagi yang boleh dilakukan Malaysia untuk meraih manfaat daripada bidang yang ditawarkan Poland serta meningkatkan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara, dan satu daripadanya ialah bidang pendidikan.

Ketika ini, lebih kurang 200 rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di Poland, kebanyakannya dalam bidang perubatan, perniagaan dan teknologi maklumat.

Julai lepas, 20 pelajar Malaysia memperoleh ijazah perubatan daripada Warsaw Medical University (13 orang) dan Jagiellonian University, Krakow (tujuh).

Malaysia dan Poland kini di peringkat akhir rundingan untuk memuktamadkan satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pengajian tinggi. Malaysia sedang menimbang deraf MoU itu.

Ahmad Fadil berkata antara aspek menggembirakan berhubung MoU itu ialah wujudnya perangkaian rapat secara berterusan antara kedutaan Malaysia, agensi kerajaan dan pelajar, yang terbukti amat berguna dalam menjayakan usaha itu.

Kebanyakan pelajar mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti anjuran kedutaan itu bersempena pameran, festival dan pelbagai acara di Warsaw serta bandar raya lain di Poland seperti Krakow, Wodz dan Poznan. 

Ahmad Fadil juga memuji Persatuan Pelajar Malaysia (AMAR) kerana mempamerkan kepimpinan berkualiti tinggi dalam memberi semangat kepada pelajar Malaysia.

Katanya, anggota persatuan itu sentiasa memberi sokongan dan menyertai para pegawai kedutaan untuk mengadakan persembahan kebudayaan dan kesenian Malaysia, di samping menyediakan masakan Malaysia di beberapa bandar raya Poland.

Kejayaan acara yang dianjurkan itu adalah juga hasil sokongan dan penajaan berterusan Tourism Malaysia melalui Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia. 

Antara pelajar Malaysia yang cemerlang dalam pengajian ialah pelajar Tahun 5 di Warsaw Medical University, Aidid Nawawi Ghazali, yang sering menduduki tempat teratas dalam senarai pelajar terbaik.

Menurut Aidid, sudah menjadi suatu kelaziman bagi pelajar Malaysia, sama ada muncul sebagai pelajar terbaik atau menduduki tempat empat atau lima teratas.

Menceritakan pengalamannya, Aidid berkata, bagi kebanyakan pelajar, tahun pertama agak mencabar disebabkan masalah bahasa dan cuaca yang amat sejuk.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama rapat yang terjalin antara pelajar dan para pegawai kedutaan Malaysia membantu mengatasi masalah yang dihadapi mereka.

Sementara itu, Lukasz Lazienski, yang menuntut bersama Aidid di universiti berkenaan dan terpikat dengan layanan mesra, makanan serta kebudayaan pelbagai etnik Malaysia melalui pelbagai acara yang dianjurkan di kedutaan itu, menyuarakan rancangannya untuk berkunjung ke Malaysia bersama Aidid dan pelajar Malaysia lain pada cuti musim panas akan datang.

Kata pelajar itu, dia juga diperkenalkan kepada filem Tan Sri P. Ramlee dan pasti tidak melepaskan peluang untuk menontonnya hingga akhir setiap kali dipasang pelajar Malaysia.

Lazienski berkata dia juga memperkenalkan filem lakonan seniman agung Malaysia itu kepada pelajar lain dan pensyarah universiti berkenaan.

Ahmad Fadil berkata perkara seperti itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, tetapi secara tidak langsung mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Terdapat penerbangan terus dari beberapa bandar raya Poland ke Bangkok dan Hanoi, yang boleh digunakan pelawat untuk ke Malaysia dengan mengambil penerbangan tambang rendah.

Kadar tukaran mata wang antara Malaysia dan Poland ialah satu zloty bersamaan RM1.12. 

Ahmad Fadil menasihati rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di  Poland supaya menghubungi pegawai kedutaan Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Ahmad Fadil Shamsuddin

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan