PKR Yakin Kemelut Dengan PAS Dapat Diselesaikan - Berita Semasa | mStar

PKR Yakin Kemelut Dengan PAS Dapat Diselesaikan

Diterbitkan: Jumaat, 24 Mac 2017 5:42 PM

Azmin Ali.

(Ubah saiz teks)

KUALA SELANGOR: Walaupun keretakan hubungan antara PKR dan PAS dilihat semakin meluas, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin kemelut itu dapat diselesaikan dengan cara berbincang. 

Katanya, tradisi berbincang bagi mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah perlu diteruskan oleh kedua-dua pihak dan tidak perlulah mana-mana pihak berlawan-lawan mengeluarkan kenyataan yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada mana-mana parti.  

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini Jumaat ketika ditanya mengenai hubungan antara kedua-dua parti yang dilihat tegang kebelakangan ini selepas PKR tetap dengan keputusan untuk menjalin kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia yang membentuk Pakatan Harapan. 

Media sebelum ini melaporkan bahawa isu kerjasama politik antara kedua-dua parti akan dibawa ke Muktamar PAS yang akan datang bagi dibincang sama ada perlu diputuskan.

Kemelut berkenaan semakin meruncing apabila Ketua Dewan Pemuda, PAS Nik Abduh Nik Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa parti berkenaan akan menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan itu kemudian disindir oleh Mohamed Azmin di laman sosial miliknya yang memuat naik kenyataan "Ada pak lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur" yang kemudian menimbulkan pelbagai reaksi. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan