Polis Galak Orang Ramai Kongsi Amaran Jenayah Guna Telefon Pintar

Diterbitkan: Jumaat, 24 Mac 2017 8:55 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis mengharapkan orang ramai menggunakan telefon pintar masing-masing bagi membantu mengurangkan jenayah dengan memberi amaran kepada pasukan itu menerusi aplikasi baharu yang akan diperkenalkan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Volunteer Smartphone Patrol (VSP), aplikasi ini akan dilancarkan pada Hari Polis, Sabtu.

Ia bakal membolehkan kira-kira 11 juta pengguna telefon pintar di negara ini untuk menghantar gambar atau video pada masa kejadian berkaitan perbuatan jenayah, kemalangan dan bencana alam.

Aplikasi baharu ini juga mampu mempercepatkan komunikasi dengan pihak polis berbanding kaedah berasaskan panggilan yang digunakan selama ini.

Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Sun Teoh Tia berkata sebagai contoh pengguna yang melihat kejadian kemalangan boleh mengambil gambar dan menghantarnya bersama-sama dengan koordinasi GPS dalam telefon pintar kepada polis.

"Maklumat lain yang boleh dihantar ialah berkaitan bencana alam yang memerlukan tindakan seperti tanah runtuh atau pokok tumbang," kata SAC Sun.

Beliau berkata sistem itu akan menjana nombor siri untuk setiap amaran yang dihantar oleh pengguna bagi mengenal pasti aduan tersebut.

"Maklumat ini kemudian akan dikategorikan mengikut negeri dan disalurkan kepada pusat kawalan polis masing-masing.

"Pusat kawalan akan memastikan sama ada maklumat itu memerlukan tindakan segera atau tindakan susulan," katanya dalam temu bual eksklusif sempena sambutan Hari Polis ke-210.

Aplikasi yang diilhamkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Orang ramai boleh mula memuat turun aplikasi percuma itu bermula esok di Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA).

SAC Sun berkata pengguna juga akan menerima maklum balas daripada pihak polis setelah maklumat telah dihantar.

"Bagi perkara-perkara tertentu, tindak balas polis adalah serta-merta," katanya, sambil menambah bahawa identiti pengguna aplikasi akan dilindungi.

Beliau berharap kerjasama orang ramai dengan pasukan itu akan bertambah baik.

"Kebanyakan orang pada masa kini mempunyai telefon pintar. Oleh kerana Malaysia mempunyai antara penggunaan telefon pintar yang paling tinggi di dunia, kerajaan melihat ia sebagai satu peluang untuk mengukuhkan usaha pencegahan jenayah dengan penglibatan masyarakat," katanya.

Tags / Kata Kunci: Polis

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Kolumnis

iklan

Iklan