Ramai 'Datuk Palsu' Takut Kena Tangkap

Diterbitkan: Rabu, 22 Mac 2017 9:39 AM

michael chong

Datuk Seri Michael Chong

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gara-gara kegiatan menjual dan membeli anugerah, gelaran atau darjah kebesaran semakin membimbangkan, pihak berkuasa bakal mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti ini.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong telah dibanjiri dengan panggilan daripada mereka yang mungkin akan berdepan hukuman penjara akibat membeli anugerah atau gelaran tidak diiktiraf.

Ramai yang tidak dapat menerima hakikat bahawa tindakan mereka yang selama ini menipu orang ramai dengan membawa gelaran 'Datuk' palsu akan sampai ke penghujungnya.

Chong berkata ada di kalangan mereka yang tidak tahu bagaimana mahu berhenti daripada menggunakan gelaran ini dan tidak tahu bagaimana untuk berdepan masyarakat.

"Ada yang tanya kepada saya apa yang perlu dilakukan dan saya beritahu mereka supaya berhenti menggunakan gelaran itu dengan segera.

"Mereka juga telah memalukan isteri-isteri mereka yang dipanggil Datin," katanya.

Di bawah Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016 yang diluluskan oleh Parlimen pada November lalu mereka yang membeli atau cuba untuk menjual anugerah palsu berdepan hukuman sehingga 20 tahun penjara.

Chong berkata walaupun anugerah yang diberikan oleh negara-negara lain mungkin bukan palsu, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa mereka tidak boleh menggunakan gelaran itu di dalam negara.

Beliau menambah, gelaran yang meragukan ini telah ditawarkan oleh ejen.

Katanya, beliau sendiri telah ditawarkan dengan gelaran ini tetapi sentiasa menolaknya.

"Saya tidak mahu walaupun ia percuma," katanya.

Chong berkata ejen-ejen ini tidak pernah menggunakan kata-kata seperti 'menjual' atau 'membeli' gelaran.

Sebaliknya, bagi mereka yang berminat, mereka telah diminta untuk menghulurkan derma atau sumbangan bagi anugerah yang diterima.

"Sumbangan ini adalah 'enam angka' dan terdapat juga pelan ansuran untuk beberapa anugerah Datuk palsu," katanya.

Beliau berkata mereka ini tertipu dengan prospek pakaian kebesaran, pakaian seragam dan iklan ucapan tahniah di akhbar.

Chong juga mendedahkan bahawa warga asing, termasuk warga China yang bekerja di Malaysia juga telah membeli gelaran meragukan ini.

Beliau turut menyokong undang-undang baharu yang diperkenalkan kerana ia dapat mengelakkan lebih ramai orang daripada tertipu.

Sementara itu, Bukit Aman akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menjual gelaran palsu, kata Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu berkata mereka yang terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang akan menerima akibatnya.

"Kami akan menguatkuasakan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Jika ada laporan mengenai aktiviti-aktiviti tersebut, kami akan memburu mereka dan mengambil tindakan yang perlu mengikut undang-undang," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan