Mesej Tular Palsu - Veterinar Pulau Pinang

Diterbitkan: Selasa, 21 Mac 2017 1:29 PM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Mesej tular yang mendakwa ayam dan telur telah dimusnahkan di Valdor, Sungai Bakap dekat sini, dan menggesa orang ramai supaya berhenti memakannya telah disahkan palsu.

Pengarah Jabatan Veterinar Pulau Pinang, Dr Siti Salmiyah Tahir berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada penternak di negeri itu berhubung perkara berkenaan.

"Setakat ini, semuanya masih terkawal. Jika apa yang didakwa benar tentu ada penternak akan memaklumkan kepada kami supaya pemeriksaan dan ujian makmal dijalankan.

"Kami juga telah melaksanakan kawalan sempadan untuk ternakan yang diimport," katanya ketika dihubungi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi, Soon Lip Chee berkata, beliau menerima mesej berkenaan menerusi WhatsApp dan pemeriksaan mendapati kejadian itu tidak berlaku.

"Tiada penternak yang mengecam ladang dalam gambar yang disebarkan itu. Semuanya palsu," katanya.

Bagaimanapun, Lip Chee menasihatkan penternak supaya mengutamakan kebersihan dalam menguruskan ladang mereka.

Pada 15 Mac lalu, kerajaan Kelantan telah mengisytiharkan wabak H5N1 di negeri itu selepas ternakan ayam mati kerana penyakit berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bahru pada 6 Mac.

Sehingga kini, tidak diketahui lokasi ladang yang gambarnya dimuatkan bersama mesej tular itu, bagaimanapun imej sama digunakan dalam posting berkaitan penghapusan ayam susulan selesema burung di Hayathnagar, India pada April 2015.

Tags / Kata Kunci: Valdor , Siti Salmiyah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan