Polis Tak Lulus Permit Debat Nazri-Tun M

Diterbitkan: Selasa, 21 Mac 2017 11:32 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Polis tidak meluluskan permohonan permit untuk debat antara Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, ketua polis daerah Kuala Kangsar telah meneliti permohonan itu dan menganggap penolakan itu sebagai langkah terbaik untuk kepentingan awam.

"Kami telah mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk keselamatan, kepentingan awam, melindungi hak masyarakat dan kebebasan.

"Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq menolak permohonan permit itu dan keputusan itu juga telah disampaikan kepada penganjur, Kumpulan Media Karangkraf pada Isnin.

"Penganjur juga lewat mengemukakan permohonan itu apabila ia hanya dihantar pada pukul 3 petang, 20 Mac," katanya pada Selasa.

Beliau menambah, permohonan permit perlu dikemukakan sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh program mengikut Seksyen 9 (1) AKta Perhimpunan Aman 2012.

Debat antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dan Dr Mahathir itu dijadualkan berlangsung di MRSM Kuala Kangsar pada 25 Mac ini.

Selain itu, kata Hasnan, permit itu juga ditolak kerana pemilihan sekolah sebagai lokasi untuk debat itu yang dilarang mengikut Seksyen 3 akta sama.

"Polis juga menerima bantahan bertulis termasuk lapan laporan polis yang dibuat orang awam dan penduduk sekitar MRSM.

"Mereka bimbang keselamatan keluarga terjejas," katanya.


Tags / Kata Kunci: Nazri , Mahathir , Hasnan , MRSM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan