Keluarga Tak Pernah Tahu Mangsa Lemas Pemain Bola Sepak Hebat

Diterbitkan: Isnin, 20 Mac 2017 7:50 AM

Bapa mangsa, Kamarul Ariffin Osman, 45, ketika mengaminkan doa yang dibacakan semasa pengkebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, Ahad. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

HULU SELANGOR: "Kami tidak pernah tahu Aiman seorang pemain bola sepak yang penting dan hebat di sekolah" itu kata ibu Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, yang ditemukan lemas di anak Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini.

Menceritakan peribadi anaknya itu, Noraini Omar, 48 berkata Muhammad Aiman seorang yang merendah diri dan kurang bercerita tentang pencapaiannya kepada keluarga.

Katanya sejak kecil anak keempat daripada tujuh beradik itu gemar bermain bola sepak selain mempunyai hobi menunggang basikal.

"Dia (Aiman) memang budak yang baik, semua orang di flat kami cakap dia memang baik... dia anak yang tak pernah melawan cakap.

"Saya tidak tahu langsung dia ke sana (lokasi kejadian) bersama kawan-kawan pada hari itu," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini Ahad.

Pada sabtu, jurulatih pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Wan Mohd Firdaus Wan Abdullah berkata berkata Muhammad Aiman dan rakannya Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12 yang turut lemas dalam kejadian, merupakan dua penyerang terbaik bola sepak sekolah itu.

Sementara itu, bapa Muhammad Aiman, Kamarul Ariffin Osman, 45 berkata dia bersyukur jasad anaknya ditemui selepas dua hari pencarian dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Syukur kepada Allah memudahkan urusan pencarian hari ini namun saya terkilan kerana tidak sempat menunaikan hasrat arwah untuk berkhatan pada cuti sekolah ini," katanya.

Mayat Muhammad Aiman ditemukan oleh orang awam pada pukul 1.15 tengah hari di tebing sungai itu kira-kira 13 kilometer dari lokasi kejadian.

Terdahulu, mayat seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10, ditemukan di tebing sungai kira-kira tiga kilometer dari pusat operasi mencari dan menyelamat pada 10.20 pagi.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang Jumaat lepas, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan dan 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika sedang menangguk ikan di sungai itu.

Seorang daripada mereka selamat manakala tujuh lagi lemas.

Selain Muhammad Aiman dan Muhammad Ikhwan, lima mangsa lain ialah pasangan adik-beradik Shahrizat Abdullah, 12 dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9; Muhammad Iskandar Shah Abdullah, 12 dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan