Usaha Malaysia Kurangkan Kadar Residivis Diiktiraf Global - TPM

Diterbitkan: Sabtu, 18 Mac 2017 11:10 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Majlis Perasmian Hari Penjara ke 227 dan Hari Antidadah Kebangsaan 2017 di Penjara Simpang Renggam, Johor, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Masyarakat antarabangsa mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam membantu banduan melalui proses pemulihan di penjara, terutamanya dalam mengurangkan kadar residivis yang kini pada bawah sembilan peratus, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kadar residivis atau kesalahan berulang oleh bekas banduan pada tahun lepas ialah pada 8.59 peratus.

"Walaupun kita belum berpuas hati dengan pencapaian yang baik ini, sebenarnya masyarakat antarabangsa mengiktiraf pencapaian kita. 

"Terdapat beberapa negara maju, kadar residivisnya berada pada tahap lebih 50 peratus, ertinya banduan yang keluar daripada penjara yang menjalani pemulihan dan hukuman tetapi apabila keluar dari penjara melakukan ulangan kesalahan jenayah, tidak di Malaysia... Alhamdulillah," katanya.

Namun kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, kadar residivis itu mahu terus dikurangkan melalui usaha-usaha menambah baik dan memperkemaskan serta memperkasakan modul-modul pemulihan sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-227 dan Hari Antidadah Kebangsaan 2017 di Penjara Simpang Renggam, dekat sini, Sabtu. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: Zahid , Simpang Renggam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan