Ketua Hakim Negara Tidak Puas Hati Kualiti Penghakiman Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Sabtu, 18 Mac 2017 5:58 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata beliau tidak berpuas hati dengan kualiti penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah-mahkamah Tinggi namun usaha telah dibuat bagi penambahbaikan.

Beliau berkata kursus-kursus telah diadakan untuk kumpulan hakim ini bagi meningkatkan kualiti penghakiman mereka.

"Sebenarnya kita ada kursus ini sepanjang masa, menunjukkan bahawa kami  belum benar-benar berpuas hati 100 peratus, namun tahap itu telah bertambah baik. Kualiti itu akan meningkat mengikut peredaran masa," katanya.

Katanya beliau memantau penghakiman Mahkamah-mahkamah Tinggi apabila sesuatu kes itu sampai ke peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Kami berbincang dengan Mahkamah Rayuan, apa yang kamu fikir mengenai hakim ini. Terlalu umum dan kadang kala begitu terperinci, kemudian kita susun kursus untuk kumpulan hakim ini," katanya semasa menjawab soalan sama ada beliau berpuas hati dengan penghakiman Mahkamah-mahkamah Tinggi.

Arifin berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran bukunya bertajuk  "Justice Above All, Selected Judgments of Tun Arifin Zakaria With Commentaries", yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Beliau yang akan bersara akhir bulan ini berkata, baru-baru ini sekurang-kurangnya dua Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi tidak disahkan menjadi Hakim Mahkamah Tinggi disebabkan prestasi mereka yang tidak mencapai tahap yang ditetapkan.

Katanya Pesuruhjaya Kehakiman adalah satu kedudukan sementara sebelum mereka menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan satu daripada kriteria untuk dinaikkan pangkat adalah mampu menulis keputusan penghakiman dengan baik.

Arifin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berkata prestasi pesuruhjaya kehakiman akan diteliti oleh JAC.

Beliau menjelaskan penghakiman Mahkamah Persekutuan akan diteliti oleh anggota panel itu sebelum ia disampaikan.

"Bagaimana kami mengambil kira keputusan kami adalah melalui pertimbangan kami. Kami perlu membuat pertimbangan secara terperinci. Kita berurusan dengan fakta undang-undang, (tentang) bagaimana anda aplikasikan undang-undang dengan fakta," katanya dalam sidang akhbar.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan para hakim Mahkamah Rayuan diberi tempoh tiga bulan untuk menyiapkan penghakiman mereka sebaik sahaja satu rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan dan mereka akan memaklumkan Presiden Mahkamah Rayuan jika melepasi masa yang ditetapkan.

Arifin, yang telah 25 tahun menjadi hakim, berkata majistret, hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi diberikan tempoh lapan minggu untuk menyempurnakan alasan bertulis sebaik sesuatu rayuan difailkan di mahkamah-mahkamah tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi kes-kes yang rumit, hakim Mahkamah Tinggi akan membenarkan melebihi tempoh masa lapan minggu itu, namun mereka akan dipantau melalui statistik yang perlu dipatuhi mereka, yang mana setiap bulan menyatakan berapa banyak penghakiman melebihi tempoh lapan minggu.

Sebelum mengakhiri sidang akhbar itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada media di atas sokongan mereka sepanjang tempoh beliau menjadi Ketua Hakim Negara.

"Saya amat gembira dan terima kasih atas sokongan anda kerana seperti yang selalu saya katakan bahawa badan kehakiman perlu sentiasa melibatkan pihak media kerana media merupakan medium untuk mendekati orang awam, dan ia sangat penting," katanya.

Selepas sidang akhbar itu, anggota media mengambil peluang bergambar dengan beliau. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Ariffin Zakaria , Mahkamah Tinggi

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan