Wanita Taiwan Reka Cerita, Imigresen Nafi Minta Wang

Diterbitkan: Sabtu, 18 Mac 2017 12:53 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menolak dakwaan pegawainya meminta wang daripada seorang warga Taiwan yang ditahan kira-kira 35 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), baru-baru ini sehingga menjadi tular di media sosial.

Pihak imigresen juga menganggap wanita berkenaan yang tidak berpuas hati dengan penahanannya itu sekadar mereka-reka cerita dan menjadikannya sebagai isu peribadi.

Bagaimanapun, jabatan itu mengakui wanita berkenaan ditahan selepas ditolak kemasukannya (NTL) ke negara ini kerana dokumen perjalanannya rosak.

Bercakap kepada mStar Online, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, beliau sendiri membuat lawatan mengejut ke imigresen KLIA2 awal pagi Sabtu bagi mendapatkan laporan penuh membabitkan dakwaan tersebut. 

"Perkara itu (dakwaan) tidak betul, saya menafikannya. Wang itu dia (warga Taiwan) yang simpan sendiri.

"Memang dia dikenakan NTL sebab pasport dia rosak. Mengenai dakwaan pegawai minta wang dan lain-lain, saya percaya ia sekadar rekaan ceritanya yang tidak berpuas hati kerana ditahan.

"Saya telah hubungi Kedutaan Taiwan dan mereka maklum bahawa Jabatan Imigresen telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut prosedur tetapi individu berkenaan menjadikan isu ini sebagai isu peribadinya," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Wanita yang dikenali sebagai Chiao Mei itu tiba ke negara ini pada pukul 8.30 malam, 9 Mac lalu dan menerusi posting di Facebooknya, telah mendakwa ada pegawai imigresen yang meminta RM1,000 untuk membebaskannya.

Wanita berusia 33 tahun itu juga mendakwa penahanannya yang lama kerana dia enggan membayar sejumlah wang berkenaan.

Setelah selesai urusan dokumentasi, warga Taiwan itu dihantar pulang ke negaranya pada 11 Mac menerusi penerbangan AirAsia.

Selain itu, menurut Mustafar, pihak Kedutaan Taiwan juga sedia bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi memastikan rakyatnya sentiasa mengambil perhatian terhadap peraturan dan undang-undang di Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang warga Taiwan kerana ditahan selama 35 jam akibat pasport rosak, termasuk diminta memberikan wang kepada pegawai imigresen selain telefon bimbitnya turut diambil pihak berkuasa itu.

Sementara itu, Mustafar dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, mengikut prosedur NTL, mereka yang ditolak kemasukan ke negara ini akan diserahkan kepada syarikat penerbangan untuk dihantar pulang ke negara asal berdasarkan prinsip kekosongan tempat duduk penerbangan terawal (first available flight), mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63. 

Katanya, segala urusan berkaitan di bawah tanggungjawab pihak syarikat penerbangan termasuk kebajikan, makan dan minum. 

"Bagaimanapun, sementara menunggu pihak syarikat penerbangan menghantar pulang, individu ini akan ditempatkan di tempat menunggu sementara. 

"Secara puratanya, seseorang individu yang ditolak kemasukan ini akan menunggu dalam tempoh dua hingga tiga hari sementara menunggu penerbangan pulang ke negara di mana destinasi terakhir individu berlepas," kata Mustafar.

Mengenai telefon bimbit warga Taiwan, Mustafar berkata, proses penerimaan individu yang dikenakan NTL akan diminta untuk menyerahkan alat elektronik kepada pegawai imigresen bertugas sementara menunggu untuk dihantar pulang.

"Barang-barang lain yang berharga seperti wang, barang kemas dan barang pengenalan diri lain adalah di bawah tanggungjawab individu itu sendiri," katanya sambil menambah bahawa warga Taiwan itu dikehendaki mengisi borang “Serahan Barang-barang (Kes NTL)” untuk mengisytiharkan dua telefon bimbit untuk disimpan, manakala wang disimpannya sendiri.

Katanya, seramai 3,592 individu telah ditolak kemasukan ke negara ini di atas pelbagai kesalahan imigresen dari 1 Januari sehingga 28 Februari lalu.

Tags / Kata Kunci: Imigresen , Mustafar , Taiwan , KLIA2

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan