Malaysia Rasional Hadapi Tekanan Kes Bunuh Jong-nam

Diterbitkan: Jumaat, 17 Mac 2017 10:00 PM

Dr Ahmad Zahid Hamidi

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata para pemimpin Malaysia sentiasa bersikap rasional menangani kes pembunuhan rakyat Korea Utara Kim Jong-nam walaupun menghadapi tekanan luar.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau dan para pemimpin kerajaan tetap mengambil pendekatan rasional bagi mengelakkan sebarang kemungkinan daripada berlaku.

Sehubungan itu, beliau meminta seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara.

"Rakyat perlu bersatu dengan mengetepikan perbezaan politik dalam kalangan kita... perbezaan agama dan bangsa, demi negara, keselamatan dan memastikan negara kita aman," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Cawangan-cawangan Peringkat Terengganu di sini, JUmaat.

Sembilan rakyat Malaysia masih berada di Pyongyang dan tidak dibenarkan meninggalkan negara itu di bawah larangan yang dikenakan Korea Utara.

Mereka merupakan petugas Kedutaan Malaysia di Pyongyang serta anggota keluarga masing-masing.

Minggu lepas, Korea Utara melarang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara tersebut yang membuatkan Malaysia mengambil tindakan sama dengan tidak membenarkan rakyat Korea Utara di Malaysia meninggalkan negara ini.   

Pertikaian diplomatik tercetus antara Malaysia dan Korea Utara susulan tiadanya persetujuan dalam beberapa perkara berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi , TPM , Kim Jong-num

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan