Harga Siling Mingguan Petrol Trend Lebih Stabil Buat Pengguna - MOF

Diterbitkan: Khamis, 16 Mac 2017 4:44 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengenalan harga siling mingguan bagi minyak petrol dan diesel akan memberikan pengguna trend harga runcit yang lebih stabil berbanding harga siling bulanan yang dilaksanakan ketika ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pengenalan mekanisme harga siling mingguan dapat mengelakkan perubahan ketara kepada harga runcit petrol dan diesel berbanding pengiraan secara bulanan kerana tempoh pengiraan bagi harga siling yang lebih pendek dan sebarang perubahan adalah lebih berperingkat.

"Kalau kita tunggu sebulan, kadang-kadang ia (harga petrol dan diesel) naik mendadak sehingga 25 sen.

"Bila kenaikan sehingga 25 sen, kita nak selaras (naikkan sehingga 25 sen) pun tak boleh dan kerajaan terpaksa serap sebahagian kenaikan sebagai subsidi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah  bertajuk "Cabaran Ekonomi Malaysia dan Pelaksanaan Dasar' yang dianjurkan MIDF Research di sini pada Khamis.

Katanya lagi, walaupun harga siling ditetapkan kerajaan, terpulang kepada mana-mana syarikat minyak untuk menjual petrol dan diesel di bawah harga berkenaan.

Sementara itu, mengenai peningkatan kadar faedah di Amerika Syarikat yang diumumkan semalam, Johari berkata tidak ada sebarang pengaliran keluar modal yang signifikan dikenal pasti sejak pengumuman berkenaan dibuat.

"Pelabur kita ketika ini majoritinya adalah pelabur jangka panjang, jadi biasanya turun naik kadar faedah di Amerika Syarikat ini tidak memberi impak kepada mereka," katanya menurut laporan Bernama.

Namun begitu, katanya kerajaan sentiasa memberi perhatian terutamanya terhadap isyarat dari bank pusat Amerika Syarikat yang ingin menaikkan kadar faedah sebanyak dua kali lagi tahun ini.

Katanya ini sejajar dengan dasar kerajaan Donald Trump yang ingin membawa pulang pelaburan bagi menampung perbelanjaan infrastruktur negara berkenaan yang dianggarkan berjumlah US$1 trilion.

"Ini adalah isunya yang akan menyebabkan pengaliran keluar modal dari negara-negara Asia ke Amerika Syarikat," katanya.

Tags / Kata Kunci: Johari Abdul Ghani , MOF , Petrol , Harga Siliing

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan