Zahid: M'sia Pertimbang Serah Mayat Jong-nam Untuk Bebaskan 9 Rakyat Terkandas

Diterbitkan: Rabu, 15 Mac 2017 5:46 PM

Gambar fail Kim Jong-nam.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menyerahkan mayat Kim Jong-nam kepada Korea Utara sebagai pertukaran bagi membolehkan sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu pulang ke tanah air.

Ditanya sama ada Malaysia akan mempertimbangkan langkah itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawab: "Kita sedang mengkaji semua kemungkinan."

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tegang susulan pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan memuncak selepas Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol diisytiharkan sebagai 'persona non grata'.

Sebagai tindak balas, Korea Utara pada 7 Mac lalu melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Malaysia kemudiannya melakukan larangan yang sama terhadap rakyat Korea Utara di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyelar Korea Utara yang mendakwa mayat berkenaan bukan Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

"Ketua Polis Negara telah mengesahkan bahawa mayat dikenal pasti sebagai Kim Jong-nam berdasarkan sampel DNA salah seorang anaknya. 

"Prosedur dan forensik telah dipatuhi. Saya ingin menyatakan bahawa mayat itu adalah Kim Jong-nam," katanya tanpa mengulas mengenai bagaimana sampel DNA berkenaan diperoleh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan