APMM Lakar Sejarah Terima Kapal Ronda Paling Moden, Pantas, Canggih

Diterbitkan: Rabu, 15 Mac 2017 1:38 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika melancarkan kapal ronda generasi baharu pertama APMM, KM Bagan Datuk, Rabu.

(Ubah saiz teks)

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Rabu melakar sejarah apabila menerima kapal ronda generasi baharu pertama, KM Bagan Datuk.

Merupakan kapal pertama yang dibina sepenuhnya oleh anak tempatan menerusi syarikat Destini Berhad (Destini), kapal ini merupakan yang pertama berjaya disiapkan selepas syarikat berkenaan dianugerahkan kontrak oleh kerajaan untuk membina enam buah kapal ronda generasi baharu APMM bernilai RM381.3 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Destini, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, baki lima buah kapal ronda akan disiapkan secara berperingkat dengan kapal terakhir dijangka siap pada suku pertama 2019.

"Kapal kedua hampir siap dengan jangkaan keseluruhan kapal dapat diserahkan kepada APMM pada suku pertama 2019.

"Kita akan cuba percepatkan pembinaannya," katanya kepada mStar Online selepas majlis pelancaran KM Bagan Datuk yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Limbungan Destini di sini, Rabu.

Perdana menteri dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukan RM740 juta untuk syarikat tersebut  membina tiga buah kapal ronda luar pesisir pantai (OPV).

Mengulas mengenai perkara tersebut, Rozabil berkata, anugerah tersebut diperolehi melalui bidaan dan kapal pertama akan mula dibina pada suku ketiga tahun ini.

"Kita telah melahirkan ramai pakar tempatan dan keupayaan anak tempatan selain kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Teknologi Malaysia untuk membawa kepakaran tempatan bersama Kumpulan Destini dalam industri pembinaan kapal," jelasnya. 

KM Bagan Datuk ini dapat digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat, kebakaran, perlindungan perikanan, penguatkuasaan undang-undang, bantuan bencana, latihan, kawalan pencemaran dan tugas-tugas di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).

Berukuran 44.25 meter, KM Bagan Datuk telah direka menjadi aset paling besar, moden pantas dan canggih di kalangan armada APMM.

Menggunakan enjin terkini MTU model 12V 400 M73, ia boleh mencapai kelajuan maksima 24 knot bersama kru maksima 41 orang.

Dari segi kawalan keselamatan kapal ini mempunyai sistem persenjataan canggih dalam melaksanakan pelbagai misi keselamatan perairan negara.

Tags / Kata Kunci: APMM , KM Bagan Datuk , Pelabuhan Klang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan