Pegawai Imigresen Bantu Militan Demi Wang Atau Misi IS Sendiri?

Diterbitkan: Selasa, 14 Mac 2017 8:34 AM

Pegawai imigresen wanita yang ditahan di Lapangan Terbang Sandakan. Foto ihsan PDRM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejak setahun lalu, seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Sandakan dalam diam-diam menerima bayaran bagi membantu menjamin laluan selamat untuk anggota militan dari Indonesia dan Filipina.

Pegawai wanita berusia 31 tahun itu dipercayai mengaturkan untuk mereka ke Filipina melalui Sabah walaupun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Dia (pegawai wanita) memainkan peranan dalam memberikan akses masuk ke Sandakan untuk mereka yang tidak mempunyai dokumen yang sah, termasuk anggota militan IS," menurut sumber.

Siasatan kini berjalan bagi menentukan sama ada pegawai itu melakukannya demi wang atau sebahagian daripada misi IS bagi suspek.

Setakat ini, dikenal pasti dia telah membantu tiga anggota militan.

Pegawai imigresen berkenaan ditahan pada Khamis lepas.

Enam individu lagi ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS dalam operasi khas selama lima hari yang dilakukan oleh Bukit Aman di Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Rabu lepas sehingga Ahad.

Sumber berkata, penahanan suspek di Kota Kinabalu dan Sandakan menunjukkan IS secara agresif menggunakan Sabah sebagai laluan transit bagi membawa lebih ramai anggota militan ke selatan Filipina.

"Kumpulan pengganas merancang untuk menjadikan selatan Filipina sebagai pangkalan mereka di Asia.

"Ia juga merupakan destinasi kedua buat anggota militan dari Asia Tenggara yang tidak dapat ke Syria," jelas sumber.

Salah seorang daripada tujuh suspek (baju merah) yang ditahan.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pegawai itu ditahan bersama dua warganegara Filipina bertaraf pemastautin tetap Malaysia - wanita berumur 53 tahun dan lelaki 40 tahun.

Dua suspek bertaraf pemastautin tetap itu dipercayai membantu penyusupan masuk tiga anggota Daesh Indonesia ke selatan Filipina melalui Sabah.

"Penangkapan dilakukan pada 8 Mac di Kota Kinabalu melibatkan dua lelaki iaitu seorang warga Filipina yang berusia 18 tahun yang merupakan anggota kumpulan pengganas Daesh dan seorang lagi merupakan pemastautin tetap warganegara Filipina berumur 27 tahun," kata Khalid.

Khalid menjelaskan warganegara Filipina itu merupakan anggota Daesh yang berbaiah dengan Isnilon Hapilon iaitu Amir kumpulan Daesh di selatan Filipina manakala warga Filipina berstatus pemastautin tetap itu pula bertanggungjawab mengumpul dana kepada Dr Mahmud Ahmad dan Mohamad Joraime Awang Raimee iaitu rakyat Malaysia yang telah menyertai Daesh sejak 2014 di selatan Filipina.

"Turut ditahan ialah seorang mekanik wargananegara Filipina berumur 36 tahun di Sandakan kerana merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan Daesh dan pada 12 Mac lepas, seorang lelaki warga tempatan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bertujuan menyertai kumpulan Daesh dengan bantuan Abu Fateh yang merupakan anggota kumpulan Daesh dari Sulawesi, Indonesia," kata Khalid.

Sebelum ini lelaki berkenaan pernah ditahan oleh pihak berkuasa Turki bersama-sama beberapa anggota kumpulan Daesh warganegara Indonesia.

Beliau berkata, ketujuh-tujuh mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) akan juga disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan