Malaysia Boleh Berdepan Pyongyang Dengan Bantuan Sekutu - Hishamuddin

Diterbitkan: Isnin, 13 Mac 2017 1:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki sekutu yang mencukupi untuk bersemuka dengan Korea Utara jika situasi mendesak, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Isnin, beliau berkata, Malaysia memiliki kelebihan sendiri dan mampu menangani situasi jika berlaku perang dengan Korea Utara.

"Kita tidak boleh memerangi negara seperti Korea Utara secara bersendiri yang memberi lebih banyak tumpuan terhadap aset pertahanan.

"Tetapi kita memiliki kelebihan yang membolehkan kita untuk mara...jangan fikir kita hanya bergantung kepada aset sendiri.

"Namun lebih baik jika kita tidak berdepan situasi itu (perang)," kata beliau.

Hishamuddin memberi contoh seperti tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang menyaksikan 26 buah negara tampil memberi sokongan dan bantuan dalam misi mencari serta menyelamat.

"Ini adalah kelebihan kita, jadi jangan bimbang dengan aset (pertahanan) negara kita," katanya.

Beliau menambah, kematian Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bukan isu besar berbanding banyak lagi isu antarabangsa yang masih belum diselesaikan.

"Anda perlu melihat isu ini dengan pandangan yang adil," katanya.

Kes kematian Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menyebabkan hubungan Malaysia-Pyongyang bergolak apabila Putrajaya mengusir duta negara itu dan memanggil pulang duta di Pyongyang.

Tags / Kata Kunci: Hishamuddin Tun Hussein

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan