Tidak Perlu Negara Ketiga Untuk Selesai Isu Pembunuhan Jong-nam

Diterbitkan: Ahad, 12 Mac 2017 6:35 PM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Negara ketiga tidak diperlukan dalam proses Malaysia menyelesaikan isu pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau berkata sekiranya wujud kesepakatan antara Malaysia dan Korea Utara isu ini boleh diatasi tanpa perlu diperpanjangkan. 

"Saya yakin apa yang dilakukan Perdana Menteri dalam menentukan dasar untuk memudahkan kedua-dua negara dan untuk terus menjaga hubungan baik serta diplomatik terus terjalin antara Korea Utara dan Malaysia," katanya. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalan Negeri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Jalinan Kasih anjuran Biro Latihan dan Penyelidikan Umno Bahagian Kalabakan di sini, Ahad.  

Ahmad Zahid berkata hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara perlu dipertahankan selagi tidak berlaku pelanggaran perjanjian terhadap Konvensyen Vienna.

"Tentunya baki sembilan orang rakyat Malaysia yang masih berada di Pyongyang menjadi keutamaan kita dan Menteri Luar telah melakukan segala daya usaha untuk memastikan mereka pulang ke Malaysia. 

"Namun pada masa sama kita juga mahu memastikan rakyat Korea Utara yang berada di negara ini dibenarkan pulang apabila tiba masanya, jika pihak mereka melakukan usaha yang sama," katanya. 

Menurut Ahmad Zahid jika Korea Utara memperlihatkan kebersamaan hubungan diplomatik ini Malaysia juga akan melakukan perkara sama dengan proper arrangement (aturan sewajarnya). 

"Dasar kita terbuka, kalau mereka berbuat baik, kita akan berbuat baik,"katanya.

Sementara itu, menjawab mengenai dakwaan 1,000 rakyat Korea Utara berada di Cyberjaya katanya mengikut rekod Jabatan Imigresen dari 2014 sehingga 2017 terdapat 2,453 rakyat Korea Utara berada di Malaysia yang bekerja dan menyertai program di bawah Malaysia My Second Home (MM2H). 

"Namun didapati yang masih tinggal di negara ini seramai 315 orang sahaja dan selebihnya itu telah kembali ke negara asal (Korea Utara).

"Mereka ini adalah pekerja di pelbagai sektor," katanya. 

Ditanya mengenai pemantauan khusus kepada rakyat Korea Utara di negara ini, katanya, Malaysia mempunyai kaedah khusus untuk memastikan sekiranya terdapat unsur negatif berlaku dalam kalangan rakyat Korea Utara ini. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Tidak Perlu Negara Ketiga

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan