Muktamar PAS Ke-63 Platform Suntik Semangat, Catur Strategi PRU-14

Diterbitkan: Ahad, 12 Mac 2017 12:11 PM

Kepimpinan parti Islam pada Muktamar PAS ke-62 yang berlangsung di Pengkalan Chepa, Kelantan tahun lalu.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Muktamar PAS ke-63 yang bakal berlangsung di Kedah pada penghujung April akan menjadi platform penting mencatur strategi untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Bakal dihadiri kira-kira 1,200 perwakilan, beliau berkata muktamar itu merupakan medan terbaik meniupkan semangat dan motivasi untuk anggota bekerja keras menghadapi PRU14 khususnya dalam usaha merampas semula negeri tertentu termasuk Kedah. 

"Antara topik menarik yang akan dibahaskan perwakilan ialah persediaan negeri-negeri tertentu untuk ditadbir oleh PAS jika diberikan kepercayaan dan mandat oleh rakyat termasuklah di negeri Kedah," katanya kepada Bernama. 

Muktamar PAS akan berlangsung dari 27 April hingga 1 Mei. 

Tarikh ditetapkan untuk Muktamar Dewan Ulama adalah 28 April di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop, Muktamar Dewan Pemuda pada 27 hingga 28 April di Kompleks PAS Kedah dan Muktamar Dewan Muslimat juga pada 27 hingga 28 April di Pusat Pengajian Darul Hadis, Kampung Tok Keling di sini.

Ahmad Fakhruddin berkata PAS Kedah sebagai negeri yang mempunyai jumlah anggota tertinggi iaitu 176,000, berhasrat menawan kembali Kedah dan menyifatkan PAS negeri sudah bersedia menerima mandat daripada rakyat untuk mentadbir semula Kedah. 

"PAS bersedia memikul tanggungjawab sebagai 'government in waiting' dalam PRU akan datang jadi segala persiapan kita rangka akan diterjemahkan mengikut masa-masa tertentu.

"Sebagai tuan rumah muktamar, kita cuba untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa Kedah boleh menyatukan semua ahli-ahli PAS di Kedah dan sebarang kata-kata yang boleh menggugat PAS tidak akan berlaku," katanya.

Agenda muktamar. katanya pasti juga tertumpu kepada pemilihan parti, dijangka PAS akan mendapat kepimpinan baharu selewatnya 30 April ini melalui kaedah pemilihan secara 'e-voting'. 

Bagi pemilihan di peringkat pusat, ia melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 18 anggota jawatankuasa, manakala bagi peringkat sayap, ia melibatan ketua, timbalan dan naib.

Ditanya kemungkinan wujud golongan kecewa kerana tidak mendapat tempat dalam pemilihan parti dan seterusnya beralih arah ke parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), beliau yakin perkara itu tidak akan timbul.

"Sekarang ini tidak timbul isu itu dalam PAS, semua jadi satu aliran pemikiran dan keutamaan kita ialah membentuk politik Islam yang nak diterjemahkan dalam bentuk praktikal," katanya.

Berhubung isu kerjasama politik bersama Umno, Ahmad Fakhruddin berkata parti sebelum ini sudahpun menegaskan bahawa tiada hubungan politik bersama Umno dan yakin agenda itu tidak akan dibangkitkan oleh para perwakilan. 

"Begitu juga dengan DAP dan Amanah, hubungan politik tidak ada dengan parti-parti tersebut. 

"Kalau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) saya difahamkan bahawa PAS mengadakan hubungan dalam bentuk program namun belum sampai memutuskan hubungan dalam bentuk politik kerana masih dalam rundingan," katanya. -- Bernama



Tags / Kata Kunci: Muktamar PAS , PRU-14

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan