YARM Gesa Peguam Negara Pantas Dakwa Perasuah

Diterbitkan: Khamis, 9 Mac 2017 1:49 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) menyarankan supaya Jabatan Peguam Negara mempercepatkan proses untuk menghadapkan perasuah ke muka pengadilan.

Presiden YARM, Datuk Seri Zakaria Jaffar berkata, langkah itu bagi menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

"YARM dengan rendah diri mencadangkan agar siasatan SPRM ini disambut baik pembuat keputusan iaitu Jabatan Peguam Negara dengan menghadapkan pesalah rasuah ke muka pengadilan.

"Malahan semua pihak perlu menguatkan iltizam bagi memerangi rasuah," katanya menerusi kenyataan di sini, Khamis.

Kenyataan YARM sebagai pertubuhan bukan kerajaan antirasuah di negara ini bagi menzahirkan komitmen penuhnya menyokong SPRM atas ikrarnya untuk melipatganda usaha memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan, seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V baru-baru ini.

Menurut Zakaria, SPRM diharap akan terus melahirkan pegawai amanah dan dedikasi, selain mempunyai kualiti cemerlang dalam membantu usaha membanteras rasuah.

Sehubungan itu, katanya, YARM menggesa masyarakat supaya  sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah. 

Mengenai usaha SPRM ketika ini, beliau berkata, tindakan demi tindakan yang diambil SPRM, jelas menunjukkan kepimpinannya dari dahulu hingga kini tidak sekadar membuat janji kosong.

"YARM melihat janji serta tekad SPRM ini telah pun dibuktikan apabila hampir setiap minggu ada sahaja individu, daripada kakitangan rendah jabatan dan agensi kerajaan hingga ke peringkat atasan, disoal siasat, direman atau dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan melibatkan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.







Tags / Kata Kunci: YARM , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan