Pasukan Khas Ditubuhkan Siasat Sindiket Kad Pengenalan Palsu Di Sabah

Diterbitkan: Khamis, 9 Mac 2017 2:30 PM

Antara barangan termasuk kad pengenalan palsu dan wang tunai yang dirampas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya selepas melakukan satu operasi khas di sekitar Tawau, Disember lalu. JPN menahan 10 individu termasuk dua lelaki dipercayai dalang utama sindiket kad pengenalan palsu itu.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pasukan khas akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terhadap kumpulan yang terlibat dengan sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu di Sabah.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam kenyataan bersama sempena mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) yang berlangsung di Putrajaya, Khamis.

Kenyataan bersama itu menyebut kerajaan memandang serius berhubung kes pengeluaran dan pengedaran kad pengenalan palsu yang masih dilakukan oleh sindiket tertentu.

Bagi meningkatkan penguatkuasaan, kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) memutuskan penubuhan pasukan khas itu untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu seperti yang berlaku di Sandakan dan Tawau, Sabah baru-baru ini, katanya.

"Siasatan lebih menyeluruh perlu digerakkan sehingga individu-individu yang bertindak sebagai dalang sebenar dapat dikenal pasti dan diambil tindakan undang-undang," kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu menyebut sungguhpun dokumen yang dikeluarkan tidak sah kerana tidak akan wujud dalam sistem dan rekod pendaftaran negara namun tindakan lebih agresif dan tegas perlu dilakukan.

"Ia bukan sahaja melibatkan penipuan kepada penerimanya tetapi turut menjejaskan nama baik kerajaan," menurut kenyataan itu.

Ia turut menegaskan bahawa kerajaan turut memberi fokus akan permasalahan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) terutamanya di perairan negeri.

Dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kepentingan umum, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan meningkatkan kawalan di pintu masuk di negeri Sabah, kata kenyataan itu.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga telah mengambil tindakan proaktif seperti pengambilan maklumat biometrik bagi setiap warga asing yang masuk dan keluar dari negeri Sabah serta pemasangan alat sistem pengecaman imej di setiap pintu masuk di Sabah.

Kenyataan bersama itu menyebut berdasarkan rekod Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, jumlah keseluruhan Pati di Sabah yang telah diusir sejak tahun 1990 sehingga 3 Mac tahun ini adalah seramai 553,692 orang.

Bagi 2017 sahaja, jumlah pengusiran sehingga 3 Mac adalah seramai 1,120 orang.

Kenyataan bersama itu juga memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan aktiviti pemindahan (ke kapal) telah dibuka semula berkuat kuasa pada 1 Februari lepas (2017) bagi membantu meningkatkan kembali kegiatan ekonomi di Sabah.

Ia melibatkan aktiviti perdagangan biasa iaitu import dan eksport barangan sahaja tidak termasuk perdagangan petroleum.

Namun, menurut kenyataan bersama itu, kerajaan masih mengekalkan larangan penggantungan bagi aktiviti perdagangan tukar barang (barter trade).-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Zahid , Musa Aman , kad pengenalan

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan