Kaedah Cari Jodoh Ibu Tunggal Wajar Dicontohi Negeri Lain

Diterbitkan: Khamis, 9 Mac 2017 4:07 PM

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Golongan ibu tunggal menyambut baik cadangan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya satu kaedah diwujudkan bagi memudahkan kaum hawa yang bergelar janda atau balu mendapat jodoh baharu.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal An-Nur (KiTA) Wilayah Persekutuan dan Selangor, Norarsikin Ma'akim berkata, cadangan tersebut tidak patut dipandang ringan, malahan perlu diteladani negeri lain kerana ia datang daripada seorang yang arif dalam bidang agama.

"Ia satu cadangan yang baik, apabila mufti sendiri beri pandangan maksudnya isu ini berat dan perlu diketengahkan di negeri-negeri lain.

"Secara peribadi, ibu-ibu tunggal di Perlis beruntung mempunyai mufti yang sudi membantu mereka mencari jodoh," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Beliau mengulas cadang Mohd Asri supaya kaedah mencari jodoh atau memudahkan perkahwinan di kalangan ibu tunggal diwujudkan di Perlis.

Mohd Asri turut menyarankan supaya urusetia diwujudkan di negeri itu bagi memudahkan kaum lelaki mencari pasangan sesuai dari kalangan ibu tunggal.

Norarsikin berkata apabila sesuatu perkara itu dilakukan berlandaskan syariat Islam, ia sudah pasti boleh menjadi ikutan.

"Semuanya mengikut syariat Islam, semoga jalan penyelesaian dari pejabat Mufti Negeri Perlis ini boleh diikuti oleh negeri-negeri lain," katanya.

Norarsikin Ma'akim

Mengulas lanjut cadangan Mohd Asri, beliau berkata, golongan ibu tunggal yang pernah gagal dalam perkahwinan perlu meningkat keperibadian sebagai muslimah dan memperbaiki kelemahan diri dalam memastikan perkahwinan seterusnya tidak terputus di tengah jalan.

Katanya, ini selaras dengan matlamat cadangan dibuat, ke arah membantu menghidupkan sunnah perkahwinan sekali gus memberikan perlindungan kepada kaum wanita.

Norarsikin berkata, tidak semua yang bergelar ibu tunggal telah berputus asa dalam perkahwinan selepas gagal dalam perkahwinan terdahulu.

Jelasnya, dalam hal ini ia bergantung kepada latar belakang dan punca perceraian seseorang.

"Setiap orang termasuk ibu tunggal ada hati dan perasaan.

"Untuk berkahwin lagi ia mengambil masa, tetapi ada juga yang sudah terbuka hati dan sudah bersedia menerima kehadiran seorang suami," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Ibu Tunggal Perlis (Perkit) turut menyokong saranan Mohd Asri dengan menyifatkan saranan itu sebagai wajar kerana ramai lelaki yang memenuhi syarat, tidak berkahwin.

Mohd Asri dalam satu kenyataan berkata terdapat sekitar 6,000 ibu tunggal di Perlis dan beliau dimaklumkan bahawa ada di antara mereka berusia seawal usia 20-an.

Tags / Kata Kunci: ibu tunggal , mudah kahwin , Dr Mohd Asri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan