Keluarga Solat Hajat, Doakan Keselamatan Rakyat Malaysia Di Pyongyang

Diterbitkan: Rabu, 8 Mac 2017 8:10 PM

Mohd Nor Azrin (kanan) bergambar swafoto bersama Iza dan tiga anaknya di Pyongyang.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli keluarga salah seorang kakitangan Kedutaan Malaysia di Pyongyang telah menunaikan solat hajat bagi mendoakan keselamatan semua rakyat negara ini yang berada di Korea Utara. 

Malahan, mereka yang menetap di sekitar Lembah Klang ini juga memanjatkan doa supaya pertikaian antara kedua negara dapat diselesaikan secepat mungkin dan rakyat Malaysia di Korea Utara dapat selamat pulang ke tanah air.

Selepas dua hari arahan kerajaan Korea Utara melarang rakyat Malaysia keluar dari negara itu, mereka bagaimanapun lega kerana masih dapat berhubung antara satu sama lain menerusi telefon atau laman sosial.

Sepupu Iza Karmila Ramli yang juga isteri kepada kakitangan di Kedutaan Malaysia di negara berkenaan, Kamil Ghazali berkata, berdasarkan perbualan dengan ahli keluarga di sini, saudaranya itu berada dalam keadaan baik.

"Perkembangan terkini mereka okay, Alhamdulillah. Kali terakhir berhubung semalam (Selasa). 

"Sama-sama doakan semua rakyat kita selamat pulang InsyaAllah," katanya kepada mStar Online.

Iza Karmila yang bertugas sebagai pegawai tadbir adalah isteri pegawai diplomatik Kedutaan Malaysia di Pyongyang, Mohd Nor Azrin Md Zain.

Sementara itu, Kamil turut berkongsi tentang sepupunya bersama suami dan tiga anaknya melalui pengalaman dihalang ketika mahu meninggalkan Korea Utara pada Selasa.

Menerusi 'posting' di Facebook, Kamil berkata: "Mereka ditahan betul-betul sebelum menaiki pesawat yang sepatutnya pulang ke tanah air."

"Saya harap sahabat-sahabat, kenalan-kenalan saya, dan sesiapa yang membaca status ini boleh meluangkan masa untuk mendoakan keselamatan sepupu saya dan keluarga beliau, serta semua rakyat Malaysia yang berada di sana. 

"Semoga mereka sentiasa dilindungi Allah dan selamat pulang ke sini," kata Kamil di akaun Faceboonya.

Pada Selasa, Korea Utara mengeluarkan arahan melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan sebagai tindak balas Malaysia turut mengambil tindakan sama terhadap rakyat Korea Utara di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Korea Utara supaya segera melepaskan semua rakyat Malaysia di negara itu bagi mengelak situasi diplomatik lebih tegang di antara kedua negara.

Seorang lagi ahli keluarga Iza Karmila mengakui saudaranya itu cuba menyembunyikan perasaan sebaknya setiap kali mereka berhubung menerusi telefon kerana tidak mahu keluarga di tanahair bimbang.

"Dia begitu tabah dan tenang. Kami banyak memberikan sokongan supaya dia bersabar dan mendoakan kesejahteraan di samping berharap agar dia dapat pulang ke Malaysia dengan segera," katanya.

"Saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang terus mendoakan mereka di sana. 

"Pada masa sama, kami berharap ada berita gembira selepas ini. Kami juga mendapat perkembangan mengenai mereka daripada Wisma Putra dari semasa ke semasa," katanya yang menyifatkan Iza sebagai seorang yang bersikap rasional dan mudah untuk bertenang.

Iza dan Mohd Nor Azrin berada di Korea Utara bersama tiga anak mereka, Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah dan Ayscha Zinnirah adalah antara 11 rakyat Malaysia yang berada di sana yang semuanya melibatkan tiga pekerja kedutaan, enam ahli keluarga serta dua lagi bekerja untuk Program Makanan Dunia (WFP), sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan