6,320,769 Permohonan BR1M 2017 Diluluskan

Diterbitkan: Selasa, 7 Mac 2017 9:14 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sebanyak 6,320,769 permohonan diluluskan bagi menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.41 bilion, demikian menurut Kementerian Kewangan.

Ia merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,242,048 penerima isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, bantuan RM900 kepada 291,918 penerima isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000, dan bantuan RM450 kepada 2,786,803 penerima individu berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.

"Bagi mereka yang gagal dalam permohonan BR1M 2017, surat dan e-mel pemakluman akan dihantar kepada pemohon yang akan menjelaskan sebab kegagalan dan juga kaedah rayuan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan Selasa.

Permohonan rayuan boleh dibuat secara percuma di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Urban Transformation Centre (UTC) yang terdekat sehingga 31 Mei ini (2017), katanya.

Perayu perlu mengisi borang rayuan dan mengemukakan dokumen sokongan berkaitan seperti penyata gaji, penyata pendapatan, penyata akaun bank (syarikat atau persendirian) dan salinan kad pengenalan pasangan atau tanggungan terkini seperti yang dinyatakan dalam surat atau e-mel, katanya.

Merujuk kepada kegagalan permohonan yang berkaitan dengan data pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kementerian itu berkata pemohon tidak perlu mendapatkan apa-apa pengesahan daripada SSM untuk membuat rayuan tersebut.

Menurut kementerian itu, pemohon hanya perlu mengemukakan penyata pendapatan atau penyata akaun bank yang berkaitan kepada LHDN semasa tempoh rayuan bagi mengesahkan maklumat pendapatan.

Kementerian Kewangan berkata penerima sedia ada yang ingin mengemas kini maklumat terkini seperti maklumat waris dan alamat surat menyurat juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan LHDN, PKH dan UTC yang terdekat dalam tempoh rayuan.

Untuk sebarang pertanyaan, pemohon boleh menghubungi talian bebas tol1800-88-2716 serta e-mel kepada br1m@treasury.gov.my.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Br1m 2017

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan