'Bakal Jenazah': JPJ Beri Amaran Plat Palsu

Diterbitkan: Isnin, 6 Mac 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ekoran plat 'bakal jenazah' pada motosikal yang mencetuskan sensasi baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu. 

Isu plat 'bakal jenazah' bukan perkara baharu kerana sebelum ini terdapat nombor plat sah tetapi diubah suai bagi memaparkan perkataan yang membawa maksud atau gelaran seperti 'mommy' dan 'boss'.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, mengubahsuai plat kenderaan tanpa mematuhi spesifikasi yang ditetapkan juga  satu kesalahan.

"Mereka tidak boleh mengubahsuai atau memaparkan plat nombor pendaftaran kenderaan tidak sah untuk mempamerkan gelaran-gelaran tertentu.

"Selain melanggar undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, tindakan itu hanya akan menimbulkan kekeliruan," katanya kepada mStar Online.

Isnin lalu, dilaporkan penunggang motosikal Yamaha 125 ZR berwarna kuning yang memaparkan plat kenderaan 'bakal jenazah' ditahan polis di Kota Kinabalu, Sabah.

Setakat ini, hanya kenderaan rasmi dibenarkan meletakkan nombor plat khusus menggunakan gelaran 'menteri' dan 'timbalan menteri'.

Nadzri bagaimanapun berkata, nombor pendaftaran kenderaan khas boleh dimohon atas tujuan dan kegunaan tertentu.

"Kita benarkan permohonan untuk nombor  pendaftaran khas secara terbuka sempena acara atau peristiwa seperti Rimau sempena Sukan SEA tahun ini dan VIP yang membawa maksud Visit Pahang sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

"Juga dibenarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas melalui yayasan atau tujuan mengumpul dana atau kebajikan," katanya.

Antara contoh lain adalah plat kenderaan Gagasan 1Malaysia (G1M) dengan sebahagian hasil jualan disumbangkan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Negara, Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia dan Yayasan Basmi Kemiskinan serta 10 kelab rekreasi di Malaysia.

Menurut Nadzri, JPJ bersama pihak berkuasa lain akan terus menjalankan operasi bagi mengesan nombor pendaftaran palsu atau plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi.

"Ia perlu ditangani bagi mengelak sebarang kejadian jenayah selain memudahkan penguatkuasaan bagi mana-mana kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas," katanya.
Tags / Kata Kunci: Bakal Jenazah , JPJ

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan