Korea Utara Mungkin Kenakan Visa Ke Atas Malaysia - Berita Semasa | mStar

Korea Utara Mungkin Kenakan Visa Ke Atas Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 5 Mac 2017 5:30 PM

Bendera Korea Utara berkibar di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur. Foto AFP

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Korea Utara mungkin membatalkan status perjalanan yang dikecualikan visa bagi rakyat Malaysia berikutan keputusan Malaysia untuk mengenakan proses permohonan visa baharu terhadap pelawat Korea Utara, kata pakar.

Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hoo Chiew Ping, yang merupakan pakar berhubung Korea Utara berkata, kemungkinan besar negara itu akan bertindak balas dengan membatalkan pengecualian visa untuk rakyat Malaysia.

Timbalan Pengarah UKM, Dr Sufian Jusof, yang pakar dalam undang-undang antarabangsa dan ekonomi turut bersetuju mengenai perkara itu tetapi menambah bahawa ia bukan satu kerugian bagi Malaysia apabila perjalanan bebas tanpa visa tidak lagi dibenarkan di Korea Utara.

"Rakyat Malaysia mempunyai kemasukan tanpa visa tetapi ia bukan benar-benar percuma kerana kita perlu melalui kumpulan pengembaraan. Rakyat Korea Utara pula tidak perlu melalui lawatan yang dianjurkan untuk berkung ke Malaysia.

"Jadi, walaupun kita mungkin katakannya sebagai bebas visa, tetapi ia sebenarnya tidak bebas," katanya.

Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr Geetha Govindasamy berkata, beliau turut menjangkakan Korea Utara akan melakukan sesuatu dalam bentuk tertentu, walaupun tidak dipastikan apakah tindakan yang akan diambil.

Berkuatkuasa 6 Mac ini, semua warga Korea Utara yang ingin memasuki Malaysia dikenakan visa, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan yang akan diwartakan segera itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan negara sebagai keutamaan.

Ketetapan ini besar kemungkinan mempunyai kaitan dengan kematian Kim Jong-nam yang juga abang tiri pemimpin Korea Utara dalam insiden pembunuhan di KLIA2 pada 13 Februari lalu, selain pelbagai isu yang timbul akibat tindakan negara itu yang enggan memberi kerjasama untuk membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan