Kerajaan Tidak Pernah Campur Tangan Dalam Keputusan Mahkamah - Arifin

Diterbitkan: Ahad, 5 Mac 2017 1:24 PM

Arifin Zakaria.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata kerajaan tidak pernah campur tangan dalam keputusan hakim mengenai mana-mana kes mahkamah.

"Tidak pernah berlaku sebarang campur tangan. Kami sendiri yang membuat keputusan bagi kes yang kami kendalikan berkaitan kerajaan," kata Arifin dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di sini.

Beliau berkata mahkamah pernah membuat keputusan yang tidak menyebelahi  kerajaan persekutuan dan negeri, dan "mereka terpaksa menerimanya".

Kata beliau, mereka yang terlibat dengan sesuatu kes dan tidak gembira dengan keputusannya, boleh merayu kepada mahkamah lebih tinggi.

"Itulah prosesnya. Bagi setiap keputusan, kami (hakim) perlu memberi sebab kenapa kami menolak atau membenarkan sesuatu kes itu".

Arifin, yang akan bersara wajib akhir bulan ini, berkata "kadang-kadang beliau agak sedih" kerana orang sudah mengkritik sesuatu keputusan, sedangkan penghakiman bertulis mengenainya belum dikeluarkan lagi.

Arifin, yang akan berusia 67 tahun Oktober ini, disambung tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara enam bulan lagi tahun lepas.

Usia persaraan bagi hakim ialah 66 tahun.

Menurut beliau, orang ramai sekurang-kurangnya perlu membaca terlebih dahulu sesuatu penghakiman sebelum membuat ulasan.

"Kami permudahkan keputusan penghakiman kami. Kami sediakan ringkasan tentang sesuatu penghakiman bagi memudahkan orang ramai memahaminya supaya mereka tahu sebab-sebab mahkamah membuat keputusan itu.

"Saya berharap orang ramai akan membaca penghakiman kami. Setelah membacanya, anda bolehlah mengkritiknya," kata beliau.

Mengenai reaksi terhadap kritikan yang ditujukan kepada hakim, beliau berkata adalah salah dari segi etika sekiranya para hakim memberi respons secara terbuka terhadap komen orang ramai.

"Hakim mempunyai kedudukan yang aneh. Mereka tidak boleh mempertahankan diri melalui akhbar. Mereka hanya boleh melakukannya melalui penghakiman semata-mata.

"Apabila kami membuat sesuatu keputusan, kami akan beri alasannya. Anda boleh mengkritik, tetapi kami tidak akan memberi respons terhadap kritikan itu," kata beliau.

Menurut Arifin, badan kehakiman akan menyerahkan kepada pihak lain seperti Peguam Negara, Majlis Peguam atau ahli akademik untuk membuat ulasan kerana mereka boleh menulis apa sahaja tentang sesuatu keputusan hakim, sama ada untuk mempertahankannya atau sebaliknya.

Katanya, keputusan mahkamah adalah telus kerana hakim dikehendaki memberi alasan tentang penghakiman yang dibuat dan orang ramai boleh membacanya untuk menilai sama ada ia adil atau sebaliknya.

"Saya sentiasa mengalu-alukan kritikan yang dibuat secara adil dan wajar tentang keputusan yang kami buat supaya kami boleh majukan lagi bidang perundangan kita," katanya.

Arifin menganggap integriti adalah kriteria paling penting bagi seseorang hakim dan tiada sebarang tolak ansur bagi hakim yang tidak memiliki sifat itu.

"Kriteria paling penting untuk menjadi hakim yang bagus ialah seseorang itu perlulah memiliki tahap integriti paling tinggi. Kemudian barulah kemampuan lain seperti berupaya menulis penghakiman dengan baik.

"Anda mungkin boleh menulis penghakiman dengan baik, tetapi anda mungkin tidak memiliki integriti, oleh itu, anda bukan seorang hakim yang bagus," katanya.

Menurut beliau, sebuah akademi kehakiman telah ditubuhkan untuk memberi pendidikan dalam bidang perundangan kepada hakim mahkamah rendah dan mahkamah tinggi, termasuk latihan mengenai penulisan penghakiman.

Arifin berkata hakim diberi masa lapan minggu untuk menyiapkan sesuatu penghakiman, tetapi kelonggaran diberi kepada hakim Mahkamah Persekutuan mengenainya kerana mereka perlu lebih berhati-hati memandangkan sesetengah keputusan yang dibuat melibatkan penggubalan undang-undang baharu.

Katanya, hakim dikehendaki mengemukakan alasan bagi sesuatu penghakiman pada hari mereka menyampaikan sesuatu keputusan, sekiranya sebelum itu mereka menangguhkan keputusan mengenainya.

"Tetapi, kadang-kadang, tempoh yang ditetapkan daripada tarikh penangguhan keputusan hingga ke tarikh penghakiman mungkin agak panjang - dua bulan, tiga bulan, lima bulan, atau malah lebih panjang - bergantung pada tahap kerumitan sesutu kes," katanya.

Beliau berkata Pesuruhjaya Kehakiman tidak akan disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi sekiranya mereka gagal menyiapkan alasan penghakiman dalam tempoh yang ditetapkan.

Arifin berkata dua daripada kriteria paling penting bagi mengukur prestasi hakim dan pesuruhjaya kehakiman ialah kualiti penghakiman mereka dan masa yang mereka ambil untuk menyiapkan penghakiman. 

Tags / Kata Kunci: Arifin Zakaria , keputusan hakim

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan