Najib Jamin Lebuhraya Pan Borneo Setanding Lebuh Raya Negara Maju

Diterbitkan: Sabtu, 4 Mac 2017 1:41 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman melihat model Lebuhraya Pan Borneo selepas perasmian dan upacara pecah tanah projek menaik taraf jalan Sindumin-Kampung Melalia Lebuhraya Pan Borneo, Sabtu. Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri).

(Ubah saiz teks)

SIPITANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan jaringan Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol di Sabah akan setanding dengan lebuh raya negara maju apabila ia siap kelak.

Menurutnya, perkara itu akan dipastikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang meletakkan standard tinggi.

"Ini bukan jalan balak atau jalan kampung. Ini adalah lebuh raya berkelas dunia. Ini adalah komitmen saya sebagai perdana menteri, Lebuhraya Pan Borneo ini adalah hadiah kerajaan kepada rakyat Sabah," katanya berucap merasmikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Sindumin, dekat sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf dan timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Najib juga berazam untuk memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah menjadi satu gambaran sejarah kerana ia bakal mengubah landskap pembangunan dan jaringan perhubungan di seluruh negeri ini.

"Dalam masa lima tahun lagi, Sabah akan dapat rangkaian lebuh raya tanpa tol yang lengkap dengan (kos keseluruhan) perbelanjaan lebih RM16 bilion. Ini adalah sumbangan daripada kerajaan pusat. 

"Saya nak beritahu bahawa ini belum selesai. Sekiranya keadaan (kewangan) mengizinkan, kita akan tambah lagi peruntukan pembangunan lebuh raya untuk Sabah.

"Kita mahu negeri Sabah berubah kerana Sabah mempunyai potensi besar," katanya.

Najib turut membidas seorang bekas perdana menteri yang memimpin negara selama 22 tahun kerana hanya membina lebuh raya di Semenanjung sahaja.

"Orang Sabah pun mahu merasa lebuh raya. Betul tidak? Tak kan orang Semenanjung sahaja merasa lebuh raya.

"Dan, hakikatnya, hari ini adalah sejarah bagi negeri Sabah kerana kilometer pertama Lebuhraya Pan Borneo untuk negeri ini bermula dari Sindumin," katanya.

Pada masa sama, Najib juga berkata projek Lebuhraya Pan Borneo itu dianggarkan mampu mewujudkan 400,000 peluang pekerjaan untuk rakyat di Sabah dan Sarawak berikutan pembangunan yang dibawa selain peluang perniagaan serta peluang bagi kontraktor tempatan.

"Saya juga menetapkan hanya kontraktor tempatan melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo. Walaupun ada usaha sama daripada kontraktor luar, namun kerja utama mesti diberikan kepada anak tempatan," katanya.

Pada majlis hari ini, Najib melancarkan upacara pecah tanah projek menaik taraf Jalan Sindumin-Kampung Melalia, Sipitang sepanjang 28.4 kilometer yang dianggarkan bernilai RM600 juta.

Projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf jalan dua lorong sedia ada kepada lebuh raya empat lorong dua hala melibatkan pembinaan dua persimpangan bertingkat dan tiga jambatan.

Ia merupakan sebahagian daripada fasa pertama projek mega Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 706 kilometer bermula dari Sindumin Ke Kudat di pantai barat dan dari Ranau ke Sandakan, Lahad Datu dan Tawau di pantai timur.

Projek itu akan mengubah landskap daerah Sipitang yang akan mengalami transformasi apabila pembinaan infrastruktur rakyat itu siap sepenuhnya dan sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri Sabah.

Lebuh raya itu juga akan memudahkan akses ke kawasan koridor ekonomi berasaskan minyak dan gas yang menghala antara Sipitang dan Kimanis.

Sebelum ini, Najib juga telah melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo di Kampung Andus, Papar bagi Jalan Papar-Donggongon; Jalan Tawau-Semporna (5km); dan Lahad Datu Bypass (7km) pada tahun lepas.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Pan Borneo , Najib , Sindumin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan