Rampas Kembali Enam Kerusi Parlimen Felda Daripada Pembangkang - TPM

Diterbitkan: Jumaat, 3 Mac 2017 8:50 PM

Ahmad Zahid bergambar kenangan ketika menerima cenderahati jaket motosikal selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia ke-7 pada Jumaat. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu warga Felda terus menyokong kerajaan dalam usaha merampas semula enam kerusi di kawasan tanah rancangan itu daripada genggaman pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebanyak 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda, enam daripada telah terlepas ke tangan pembangkang pada PRU-13.

"Kita memerlukan sokongan semua. Kita perlu rampas kembali enam kawasan yang terlepas ke tangan pembangkang," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ke-7 Majlis Belia Felda Malaysia di sini Jumaat.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut berharap agar Felda dapat mengenal pasti golongan belia yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin pada masa akan datang.

Mengenai Felda sebagai sebuah agensi yang menjadi aset negara, beliau berkata Felda juga tidak terlepas daripada ditohmah pihak tertentu.

"Sebagai sebuah organisasi, tentu ada kekangan yang dihadapi kerana kita bukan maksum. Dalam keadaan itu, dengan adanya Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda, saya amat yakin beliau akan dapat melakukan transformasi terbaik untuk Felda," katanya.

Ahmad Zahid berkata Felda telah melalui proses urbanisasi yang menjadi antara contoh terbaik kepada dunia.

"Kita mahu dasar urbanisasi bukan hanya kita melakukan mobiliti sosial secara horizontal di kawasan bandar untuk kita berhijrah, tetapi urbanisasi yang dilakukan untuk peneroka ialah membandarkan kawasan-kawasan Felda dan ini sedang berlaku dengan pesatnya," katanya.

Beliau berkata generasi kedua dan ketiga Felda perlu menjadi penyokong utama untuk menterjemahkan urbanisasi Felda.


Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi , Felda

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan