Kang Chol Perlu 'Bayar Mahal' Jika Terus Hentam Malaysia - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Jumaat, 3 Mac 2017 6:27 PM

(Ubah saiz teks)

Dikemaskini

KUALA LUMPUR: Duta Korea Utara, Kang Chol perlu membayar 'harga tinggi' jika terus menghentam kerajaan Malaysia berhubung proses siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai duta, beliau perlu menghormati sistem perundangan, etika, budaya dan kelaziman yang dilakukan negara ini.

"Jika hentaman itu dibuat berterusan, beliau akan membayar 'harga yang mahal'," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia di sini, Jumaat.

Jelas beliau lagi, Kang Chol juga perlu menghormati sistem diplomasi di peringkat antarabangsa.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan adanya suspek bagi membantu siasatan kes kematian Jong-nam  bersembunyi di kedutaan Korea Utara, Ahmad Zahid berkata, kerajaan Malaysia perlu mematuhi beberapa prosedur diplomatik.

"Selagi seseorang berlindung di dalam premis kedutaan atau pesuruhjaya tinggi, kita perlu menghormati prosedur diplomatik.

"Bukan setakat mengeluarkan waran tetapi beberapa proses  diplomatik perlu dipatuhi," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menafikan dakwaan bahawa kerajaan Malaysia enggan berbincang dengan Korea Utara mengenai siasatan kes kematian Jong-nam.

"Mereka telah bertemu dengan Wisma Putra dan perbincangan akan diadakan dengan Pyongyang," katanya.
Tags / Kata Kunci: Zahid , Kang Chol , Jong-nam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan