'Dia Diserang Sakit Jantung, Bukan Diracun' - Korea Utara

Diterbitkan: Khamis, 2 Mac 2017 7:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ri Tong-il menegaskan bahawa rakyatnya "Kim Chol" maut kerana serangan jantung dan bukannya diracun.

"Kita mempunyai maklumat mengenai Kim Chol mengalami serangan jantung dan tidak boleh meneruskan perjalanan tanpa ubatnya," kata Ri pada sidang media di Kedutaaan Korea Utara di sini, Khamis.

Delegasi itu mengenal pasti mayat sebagai Kim Chol dan bukannya Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Ri turut merujuk kepada bedah siasat yang dikendalikan pihak berkuasa kesihatan Malaysia, yang mendedahkan Jong-nam meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Ubat-ubat untuk penyakit diabetis dan tekanan darah tinggi merupakan antara barang-barang yang ditemui bersama dia," ujar Ri.

Menurut Ri, penggunaan agen saraf (VX, sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar) untuk membunuh mangsa merupakan satu muslihat yang direka oleh Korea Selatan bagi mengalihkan perhatian dunia daripada krisis politik negara itu.

"Bagaimana Korea Selatan boleh tahu mengenai penggunaan senjata kimia dari awal sedangkan kita tak tahu? Ini bermakna mereka tahu ia akan berlaku.

"Ia merupakan sesuatu yang masyarakat antarabangsa perlu menjawabnya," katanya.

Ri yang terus menafikan penggunaan VX bagi membunuh mangsa mempersoalkan mengapa dua suspek wanita - warga Vietnam, Doan Thi Huong dan warga Indonesia, Siti Aisyah terselamat selepas mengendalikan bahan kimia yang mempunyai kandungan toksik tinggi, dengan hanya menggunakan tangan mereka.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tiada sesiapa pun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dikunjungi "ribuan orang" menerima kesan bahan kimia berkenaan.

Katanya, ia termasuk doktor dan jururawat yang merawat mangsa.

Ri berkata, VX begitu terkenal kerana kandungan toksiknya yang sangat tinggi.

"Ia dikategorikan sebagai senjata kimia dan mana-mana mangsa boleh maut," katanya.

Menurut Ri, jika benar VX digunakan, sampel bahan kimia itu sepatutnya dihantar kepada Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia untuk diuji.

"Jika terbukti, maka mereka patut kenal pasti siapa yang buat dan bawa ke Malaysia kepada dua suspek wanita," katanya.

Ri berkata, delegasi akan terus meminta untuk melihat mayat.

"Sejak kami tiba, kami telah mengadakan pertemuan dengan anggota Kabinet (Malaysia) bagi menyelesaikan isu kemanusiaan, terutama dari segi penghantar pulang mayat ke Korea Utara dan pembebasan rakyat Korea Utara yang ditahan," katanya.

Permintaan turut dibuat untuk mengadakan pertemuan dengan dua suspek wanita dan lelaki Korea Utara, Ri Jong-chol yang ditahan.

Pada Khamis, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa Jong-chol yang ditahan pada 18 Februari lalu akan dibebaskan dari reman dan dihantar pulang selepas perintah reman keduanya berakhir pada Jumaat.

Ri berkata, delegasinya komited untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul bagi menjalinkan hubungan baik antara Korea Utara dan Malaysia.

"Permintaan kami mudah, iaitu penghantaran pulang mayat secepat mungkin," katanya.

Tags / Kata Kunci: Ri Tong-il

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan