Najib Rumus Empat Manfaat Utama Kunjungan Raja Salman Ke Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 2 Mac 2017 6:38 PM

(Ubah saiz teks)

Dikemaskini

KUALA LUMPUR: Kunjungan sulung Raja Salman Abdulaziz Al Saud bukan sahaja akan mengukuhkan hubungan dua hala KL-Riyadh, tetapi turut memberi pelbagai faedah yang memanfaatkan rakyat secara langsung, kata Perdana Menteri.

Merumuskan lawatan empat hari Raja Arab Saudi itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesediaan kerajaan Arab Saudi untuk menambah tiga kali ganda jumlah biasiswa buat pelajar Malaysia bermula tahun depan antara empat perkara penting hasil lawatan Penjaga Dua Kota Suci itu. 

"Biasiswa ini bermakna lebih ramai pelajar akan berupaya melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terkemuka di sana dan ia juga melengkapi dan menambah lagi kepada peruntukan RM4.3 bilion kerajaan untuk biasiswa di bawah Bajet 2017," katanya dalam entri terbaharu blog najibrazak.com.

Lawatan negara empat hari Raja Salman ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V merupakan lawatan ke negara Islam pertama di Asia Tenggara yang dikunjungi Penjaga Dua Kota Suci itu sejak baginda menaiki takhta pada 2015.

Selain itu, Najib menyifatkan lawatan Raja Salman juga membuka laluan kepada permohonan Malaysia mengenai penambahan kuota Haji dan dua pusat jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah.

Najib sebelum ini dilapor berkata Kerajaan Arab Saudi telah memberi maklum balas positif terhadap permintaan Malaysia untuk menambah bilangan kuota jemaah haji kepada 30,000 tahun ini. 

"Kita pernah mendengar kisah bahawa ada yang terpaksa menunggu sehingga 40 tahun untuk mengerjakan Haji, dan saya komited untuk memastikan kejadian sebegini akan dapat kita kurangkan.

Saya berharap dan berdoa semoga permohonan kita ini akan diberi pertimbangan sewajarnya agar dapat memudahkan umat Islam Malaysia menunaikan ibadah Haji dalam suasana yang lebih kondusif," katanya. 

Perdana Menteri juga berkata kunjungan Arab Saudi turut membawa manfaat dalam aspek pekerjaan dan pelaburan di negara ini, khususnya dengan suntikan pelaburan bernilai RM31.08 bilion (AS$7 bilion) oleh syarikat minyak negara Arab Saudi, Saudi Aramco dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (Rapid) di Pengerang, Johor.

"Saya percaya ia akan mewujudkan banyak peluang kepada rakyat, daripada peluang pekerjaan hinggalah kepada pembangunan dalam industri sokongan seperti runcit, kewangan, pembinaan, perkhidmatan dan banyak lagi. 

"Industri lain seperti ekonomi halal, perkhidmatan kewangan Islam dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut akan mendapat manfaat," katanya.

Sebelum ini, kata Najib, hubungan negara dengan kerajaan Arab Saudi kebanyakannya berkisar kepada isu berkaitan ibadah umrah dan Haji manakala  perdagangan dua hala antara kedua-dua negara pula berada pada jumlah sederhana iaitu RM13.99 bilion pada tahun lepas.

Najib berkata perkara itu sekali gus dapat menangkis segelintir pihak yang menyebarkan berita negatif mengenai Malaysia untuk kepentingan politik peribadi, selain tuduhan liar sesetengah pihak bahawa Malaysia sama ada akan muflis atau akan menjual negara kepada orang luar melalui pelaburan asing.

"Realitinya, jauh panggang dari api. Pelaburan asing mewujudkan pekerjaan buat rakyat kita, pada masa sama kita mengekalkan pemilikan dan kedaulatan sepenuhnya," katanya.

"Tambahan lagi, kita kini menyasarkan untuk meningkat naik dalam nilai rantaian, termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi seperti arkitek, jurutera, akauntan, ahli kimia dan banyak lagi. Pelaburan sebegini daripada luar negara adalah tanda keyakinan yang tinggi terhadap ekonomi kita," katanya.

Perdana Menteri juga berkata hasil lawatan itu turut membawa pelbagai jenis peluang di Arab Saudi untuk ahli perniagaan dan usahawan Malaysia. 

Antaranya, sasaran Arab Saudi untuk meningkatkan jangka hayat daripada 74 hingga ke 80 tahun membuka peluang kepada industi kesihatan terutamanya perkhidmatan penjagaan penduduk warga emas.

Sasaran untuk meningkatkan pengunjung menunaikan ibadah Umrah daripada lapan juta ke 30 juta orang, akan membawa kepada penambahan permintaan bagi sektor-sektor seperti syarikat telekomunikasi dan ICT, infrastruktur, kandungan digital, tenaga, pelancongan dan hospitaliti, kesihatan, teknologi hijau, peruncitan dan juga pengangkutan. 

"Peluang unik juga akan tersedia bagi perniagaan dalam sektor seperti e-dagang, tenaga boleh diperbaharui, hiburan dan riadah, perkhidmatan kewangan dan banyak lagi," katanya.

Beliau juga berharap usahawan Malaysia akan lebih inovatif dan mengambil peluang yang tersedia itu untuk mengembangkan sayap dan mewujudkan hubungan dengan Arab Saudi. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Najib , Raja Salman

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan