Raja Salman Gesa Universiti Bantu Ummah Dapatkan Semula Kehebatan

Diterbitkan: Rabu, 1 Mac 2017 7:34 AM

Raja Salman berkenan menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat daripada Sultan Ahmad Shah pada Istiadat Konvokesyen Khas Pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik (Islam & Wasatiyyah) di UIAM, Selasa malam. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud menggesa universiti di dunia Islam memastikan kesediaan dan kelayakan generasi muda untuk membantu ummah mendapatkan semula kehebatannya.

Raja Arab Saudi itu bertitah pengetahuan yang diperoleh boleh dikongsi untuk manfaat masyarakat dunia yang lebih luas.  

Belia, titah baginda merupakan harapan dan juga masa depan masyarakat Islam. 

"Universiti di dunia Islam mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menyediakan mereka menghadapi tugas mencabar pada masa depan," titah baginda.

Raja Salman bertitah demikian dalam ucapan penerimaan baginda selepas dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik (Islam dan Wasatiah) dan Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada konvokesyen khas di sini, Selasa malam.

Anugerah dipersembahkan kepada baginda oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan universiti.

Raja Salman bertitah Islam mempunyai apa yang diperlukan untuk membolehkan ummah bangkit semula sebagai sebuah tamadun.

"Pendidikan merupakan satu cara untuk kita mencapai kemajuan dan pembangunan peradaban dalam bidang pengetahuan dan sains," titah baginda.

Istiadat penganugerahan itu merupakan acara rasmi terakhir baginda dalam lawatan negara empat hari ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Lawatan itu berakhir pada Rabu. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan