Lawatan Raja Salman Beri Manfaat Kepada Malaysia, Jana Pelaburan RM40 Bilion

Diterbitkan: Rabu, 1 Mac 2017 8:35 PM

Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud (kiri) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) ketika menyaksikan pertukaran dokumen pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petronas dan Saudi Aramco, Selasa. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lawatan negara oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud selama empat hari baru-baru ini ternyata membawa manfaat kepada Malaysia apabila menerima pelaburan berpotensi bernilai kira-kira RM40 bilion.

Kunjungan itu didorong hubungan erat antara kedua-dua negara selama hampir 60 tahun berlandaskan sikap saling hormat-menghormati dan bekerjasama dalam meningkatkan hubungan dalam semua bidang.

Tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai anggaran RM9.74 bilion telah  dimeterai antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi, meliputi pelbagai bidang seperti pembinaan, industri halal, aeroangkasa dan perkhidmatan haji semasa lawatan itu.

Bahagian perniagaan terbesar pula adalah daripada perjanjian pembelian saham  antara Petronas dan syarikat minyak negara Arab Saudi, Saudi Aramco, bernilai RM31 bilion.

Mengikut perjanjian itu, Saudi Aramco akan membeli 50 peratus pemilikan dalam aset perekah dan penapisan di bawah Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (RAPID).

Syarikat itu turut akan membekal sehingga 70 peratus bahan mentah untuk keperluan penapisan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pelaburan oleh Saudi Aramco tersebut adalah bukti keyakinan berterusan terhadap potensi ekonomi Malaysia.

"Ini merupakan satu perjanjian bersejarah yang akan menyaksikan dua syarikat utama petroleum bekerjasama untuk menjayakan antara projek terbesar di Asia Tenggara," katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, ia sekali gus menyangkal tuduhan bahawa Malaysia terlalu bergantung kepada China.

Mustapa turut menyebut mengenai hubungan kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Salman.

"Kita berharap menerusi hubungan lebih erat ini...lebih banyak syarikat Saudi akan melabur di negara kita," katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank berkata perjanjian dengan Saudi Aramco itu sebahagiannya akan mengurangkan komitmen perbelanjaan modal yang besar Petronas untuk RAPID dan menyediakan penampan tunai lebih baik dalam mengekalkan bayaran dividen kepada kerajaan.

"Bagi tempoh sembilan bulan 2016, aliran tunai operasi Petronas sebanyak RM36.1 bilion hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan modal sebanyak RM35.9 bilion. Dividen sebanyak RM12 bilion pula terpaksa dibiayai daripada rizab tunai syarikat itu," menurut HLIB menerusi nota penyelidikan.

Firma itu berkata, dengan perjanjian tersebut, Petronas akan berupaya membayar kepada kerajaan melalui perolehannya sendiri tanpa mengalami penyusutan tunai selanjutnya.

Bagaimanapun, kerumitan penapisan minyak itu adalah lebih tinggi berbanding penapisan sedia ada di Malaysia memandangkan kandungan sulfur yang tinggi dalam minyak mentah Arab Saudi berbanding Malaysia, kata HLIB.

Bank pelaburan itu turut menjangkakan tiada peningkatan ketara dalam perbelanjaan modal Petronas selepas pengurangan sebahagian komitmen bagi RAPID susulan pelaburan Saudi Aramco.

Lebihan tunai dijangka terutamanya digunakan untuk pembayaran dividen kepada kerajaan.

Mengenai tujuh MoU yang ditandatangani antara Malaysia dan syarikat Arab Saudi, Mustapa berkata, ia sekali gus menunjukkan minat yang semakin meningkat daripada kedua-dua negara untuk memanfaatkan kekuatan bersama dalam mencapai matlamat perniagaan.

"Memandangkan Arab Saudi semakin beralih daripada bergantung dengan perolehan minyak, kita mahu menggalakkan pelabur Saudi untuk meneroka potensi perniagaan dalam bidang pertumbuhan baharu khususnya berkaitan produk teknologi canggih," katanya semasa menyampaikan ucapan aluan di Forum Perniagaan Malaysia-Arab Saudi.

Antara firma tempatan yang menandatangani MoU itu ialah Perbadanan Pembangunan Industri Halal, Prasarana Malaysia Bhd, Dewina Holdings Sdn Bhd, Majlis Amanah Rakyat dan Silvertech Global Sdn Bhd.

Mustapa turut menjemput syarikat multinasional (MNC) Arab Saudi untuk mengikuti langkah MNC lain bagi memanfaatkan skim Hab Prinsipal Malaysia.

Ia akan membolehkan MNC negara itu menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk melonjakkan fungsi nilai tambah strategik utama mereka ke arah lebih cekap kos, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, Malaysia mempunyai kedudukan kukuh dalam sektor pembinaan Arab Saudi dengan 19 kontrak bernilai RM18.5 bilion diberi kepada syarikat Malaysia setakat ini.

Perdagangan keseluruhan Malaysia dengan Arab Saudi meningkat 27.8 peratus kepada RM14 bilion (US$3.4 bilion) pada 2016, daripada RM11 bilion (US$2.8 bilion) pada 2015.

Tiga eksport utama Malaysia ke Arab Saudi pada 2016 ialah minyak sawit dan produk berasaskan sawit (RM565.75 juta, 16.8 peratus); jentera, peralatan dan alat ganti (RM380.72 juta, 11.3 peratus); dan makanan diproses (RM379.16 juta,  11.2 peratus).
 -Bernama
Tags / Kata Kunci: Lawatan negara , Raja Salman , pelaburan

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan