Little India Alamat Syarikat Alat Tentera Agensi Risikan Korea Utara - PBB

Diterbitkan: Isnin, 27 Februari 2017 9:38 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Di sebalik pintu tidak bertanda di tingkat dua sebuah bangunan buruk di Little India, di sini, terletaknya pejabat sebuah syarikat peralatan ketenteraan, Glocom.

Glocom ialah sebuah syarikat yang dikendalikan oleh ejen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan radio medan perang, mencabuli sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut laporannya yang digubal untuk Majlis Keselamatan yang dilihat oleh Reuters.

Reuters mendapati, Glocom telah mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi ketenteraan dan separa ketenteraan di laman webnya di Malaysia, glocom.com.my.

Laman web Glocom, yang telah ditutup akhir tahun lalu, menyenaraikan alamat di Little India dalam seksyen alamat untuk dihubungi.

Bagaimanapun, tiada siapa yang membuka pintu pejabat di alamat tersebut dan peti surat di bahagian luar dipenuhi dengan surat yang belum dibuka.

Malah, tidak ada syarikat dengan nama berkenaan wujud di Malaysia.

Tetapi dua syarikat Malaysia yang dikawal oleh pengarah dan pemegang saham Korea Utara telah mendaftarkan laman web Glocom pada tahun 2009, menurut dokumen pendaftaran syarikat dan laman web.

Julai lepas, satu penghantaran udara peralatan komunikasi tentera Korea Utara, yang dihantar dari China menuju ke Eritrea, telah dipintas di sebuah negara yang tidak dinamakan.

Peralatan yang dirampas termasuklah 45 kotak radio medan perang dan aksesori dengan label Glocom, singkatan untuk Global Communications Co.

Glocom dikawal oleh Biro Peninjau Umum, agensi perisikan Korea Utara yang ditugaskan untuk operasi luar negara dan perolehan senjata, menurut laporan itu, memetik maklumat yang tidak didedahkan dari mana ia diperolehi.

Jurucakap untuk misi Korea Utara di PBB memberitahu Reuters beliau tidak mempunyai maklumat mengenai Glocom.

Resolusi PBB 1874, yang diterima pakai pada tahun 2009, memperluaskan sekatan senjata terhadap Korea Utara untuk memasukkan peralatan ketenteraan dan semua kelengkapan berkaitan.

Tetapi pelaksanaan sekatan 'masih tidak mencukupi dan sangat tidak konsisten' di kalangan negara-negara anggota, menurut laporan PBB dan Korea Utara menggunakan 'teknik pengelakan yang semakin meningkat dalam skala, skop dan kecanggihan'.

Malaysia adalah salah sebuah daripada beberapa negara di dunia yang mempunyai hubungan kukuh dengan Korea Utara.

Rakyat mereka boleh membuat perjalanan ke negara masing-masing tanpa visa.

Tetapi hubungan baik ini mula menjadi persoalan apabila berlakunya kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

PAN SYSTEMS

Menurut pangkalan data 'WHOIS', yang mendedahkan pemilikan laman web, Glocom.com.my telah didaftarkan pada tahun 2009 oleh sebuah entiti yang dikenali sebagai International Global System menggunakan 'Little India' sebagai alamat.

Sebuah syarikat yang namanya hampir serupa, International Golden Services disenaraikan sebagai titik hubungan pada laman web Glocom ini.

Glocom dikendalikan oleh cawangan Pyongyang melalui sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura yang dikenali sebagai Pan Systems, menurut draf PBB.

Laporan memetik invois dan maklumat lain yang diperolehi.

Louis Low, Pengarah Urusan Pan Systems di Singapura berkata syarikatnya pernah mempunyai sebuah pejabat di Pyongyang dari 1996 tetapi secara rasmi mengakhiri hubungan dengan Korea Utara pada 2010 dan tidak lagi mengawal mana-mana perniagaan di sana.

"Mereka menggunakan nama Pan Systems dan mengatakan ia adalah sebuah syarikat asing, tetapi semua operasi dilakukan oleh mereka sendiri," kata Low kepada Reuters merujuk kepada Korea Utara mengenai pejabatnya di Pyongyang.
Tags / Kata Kunci: operasi senjata , peralatan tentera , Glocom , PBB

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan