Kehadiran Kenderaan Hazmat, Unit Forensik Di IPD Sepang Curi Tumpuan

Diterbitkan: Isnin, 27 Februari 2017 6:32 PM

IPD Sepang.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kehadiran lima kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk satu kenderaan Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang petang ini mencetuskan tanda tanya.

Lima jentera itu dilihat memasuki perkarangan IPD pukul 3.20 petang dan ia jelas menarik perhatian kumpulan media yang berkumpul di luar IPD tersebut.

Ketibaan kira-kira 10 anggota bomba itu disambut polis di situ dan mereka kemudian dibawa memasuki bangunan IPD tersebut, sebelum keluar semula kira-kira 10 minit selepas itu.

Tinjauan mendapati anggota bomba tersebut kemudian mengalihkan kenderaan mereka untuk membentuk kepungan ke atas tiga kenderaan lain, seolah-olah mahu menghalang daripada dilihat pihak luar.

Kenderaan itu adalah kereta Suzuki Swift berwarna putih, Myvi hitam dan teksi berwarna merah.

Anggota bomba itu kemudian mengeluarkan beberapa perkakasan dan alat tertentu daripada kenderaan Hazmat.

Pasukan yang memakai sut berwarna putih dan kuning turut dilihat di kawasan terbabit dan memeriksa tiga kenderaan tersebut, selain kehadiran unit forensik.

Pada awal pagi Ahad lalu, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan Hazmat dan Badan Pelesenan Kuasa Atomik (AELB) Malaysia melakukan operasi bersepadu mengesan bahan kimia toksik dan berbahaya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (klia2).

Operasi tersebut dilakukan berikutan penemuan bahan kimia yang dikenal pasti sebagai agen saraf VX yang digunakan untuk membunuh Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin utama Korea Utara Kim Jong-un, baru-baru ini. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: kenderaan Hazmat , IPD Sepang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan