Sistem Pemberian BR1M Perlu Dikaji Semula - Nazri

Diterbitkan: Ahad, 26 Februari 2017 3:21 PM

Nazri pada Sabtu menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada orang ramai pada majlis penyampaian BR1M 2017 bagi Parlimen Padang Rengas di Dewan Millenium Lubuk Merbau. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

PADANG RENGAS: Sistem pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) perlu dikaji semula bagi mengelak penerima menunggu lama untuk mendapatkan wang bantuan itu, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata, beliau akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri supaya penerima hanya menggunakan kupon dengan nombor bersiri untuk mendapat wang bantuan.

"Melalui pemberian kupon dengan nombor bersiri itu, ia memudahkan penerima menukar terus kepada wang tunai berbanding sekarang diberikan kupon nombor, (penerima) beratur untuk mengambil baucer dan kemudian ditukar dengan wang tunai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian BRIM 2017 peringkat Parlimen Padang Rengas kepada 1,500 penerima di sini, Ahad.

Mohamed Nazri yang juga anggota Parlimen Padang Rengas berkata pemberian bantuan rakyat itu juga perlu dibuat di banyak tempat terutama di peringkat mukim/kampung.

"Sekarang ini pemberian BRIM di peringkat parlimen kita buat sebanyak empat kali dan kalau boleh lepas ini dibuat di banyak tempat bagi memudahkan rakyat mengambil wang tersebut di samping mengurangkan kesesakan," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, ramai rakyat datang untuk mengambil BRIM dan ini sekali gus membuktikan rakyat menyambut baik usaha kerajaan untuk membantu mereka.

"Walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata BRIM adalah rasuah, ia membuktikan cakap beliau itu tidak betul kerana beberapa negara lain turut melaksanakan perkara yang sama kepada rakyat mereka.

"Kalau mereka rasa BRIM itu rasuah, mereka (rakyat) tidak akan datang mengambilnya," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan