MB Terengganu Cadang Sekolah Tubuh Jawatankuasa Anti Ponteng

Diterbitkan: Ahad, 26 Februari 2017 3:34 PM

Ahmad Razif Abd Rahman

Ahmad Razif Abd Rahman.

(Ubah saiz teks)

KUALA NERUS: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mencadangkan semua sekolah di negeri ini menubuhkan jawatankuasa bagi menangani masalah ponteng dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pemuafakatan Pasukan Anti Ponteng itu perlu melibatkan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti dan polis.

Katanya, jawatankuasa itu perlu berperanan untuk mencegah dengan memujuk pelajar yang ponteng untuk kembali ke sekolah dan bukan berkonsepkan menangkap pelajar.

"Penubuhan pasukan itu sebagai kaedah menarik pelajar datang ke sekolah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan khas persekolahan persekutuan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng di sini, Ahad.  

Seramai 214 pelajar yang berkelayakan menerima bantuan itu, RM100 seorang. 

Ahmad Razif berkata, gejala ponteng sekolah dianggap 'ibu' kepada masalah disiplin dan salah laku pelajar kerana mereka akan terbabit dengan pelbagai aktiviti negatif termasuk penagihan dadah.

"Walaupun peratus kes salah laku disiplin dianggap masih rendah tetapi usaha menangganinya perlu dibuat dengan bersungguh dan serius agar gejala itu dapat dibendung sepenuhnya," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan