Polis Ambil Sampel Ada Kaitan Dengan Pembunuhan Jong-nam

Diterbitkan: Sabtu, 25 Februari 2017 3:29 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat mengesahkan pihak polis telah mengambil sampel daripada sebuah kondominium di Jalan Klang Lama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Beliau berkata tindakan mengambil sampel tersebut daripada kondominium The Verve Suite pada Khamis merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

"Namun kita tidak dapat mengesahkan secara spesifik sama ada sampel itu berupa cecair atau bahan kimia. Belum dapat disahkan secara positif kerana ia masih disiasat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival JomFest Carnival-BigFood di sini pada Sabtu.

Abdull Samah juga berkata pihak polis sedang bekerjasama dengan Jabatan Kimia, Jabatan Forensik dan Agensi Nuklear Malaysia untuk menyiasat sama ada bahan yang digunakan dalam kes pembunuhan tersebut mempunyai kesan radioaktif.

"Ia hanya berupa langkah berjaga-jaga yang diambil pihak polis berikutan terdapat kebimbangan dalam kalangan orang awam berhubung bahan yang digunakan dalam pembunuhan itu.

"Siasatan turut meliputi semua lokasi berkaitan kes," tambahnya seperti dilaporkan Bernama.

Mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa seorang lelaki telah ditahan dalam serbuan itu, Abdul Samah menafikan laporan itu dengan berkata tiada tangkapan baru dilakukan.

Mengenai kerjasama daripada pihak kedutaan Korea Utara bagi membolehkan pegawai kedutaannya untuk turut dipanggil bagi disoal siasat, beliau berkata setakat ini tiada sebarang pegawai daripada kedutaan itu yang tampil bagi membantu siasatan kes.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi masa yang sesuai kepada pihak kedutaan untuk menyerahkan individu yang dikehendaki tersebut.

"Satu notis akan dikeluarkan apabila tempohnya berakhir untuk meminta individu berkenaan hadir bagi disiasat. Sekiranya notis itu tidak dipatuhi, pihak polis akan meminta mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap.

"Di sebalik mempunyai kekebalan diplomatik, pihak polis akan menggunakan kuasa mereka untuk memanggil sesiapa sahaja bagi membantu siasatan kerana kes itu disiasat sebagai kes jenayah," kata Abdul Samah.

Jong-nam yang merupakan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 8 pagi 13 Feb lalu untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampiri dan menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai telah diliputi dengan cecair beracun.

Susulan kejadian itu, dia yang datang ke Malaysia pada 6 Feb dengan memiliki pasport atas nama Kim Chol telah mengadu mengenai kejadian yang dialaminya  kepada petugas keselamatan di klia2, namun dia meninggal dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

PDRM kemudiannya menahan empat individu, dua daripadanya wanita, seorang memegang pasport Indonesia manakala sorang lagi pasport Vietnam.

Dua lagi lelaki itu, seorang daripadanya adalah warga Malaysia sementara seorang lagi warga Korea Utara. Warga Malaysia itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Tags / Kata Kunci: Kim Jong-nam

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan