Agen Saraf VX: KLIA2 Akan Diperiksa

Diterbitkan: Sabtu, 25 Februari 2017 10:01 AM

KLIA2 beroperasi seperti biasa ketika tinjauan fotoBERNAMA malam Jumaat.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pihak berkuasa keselamatan nuklear dan radiasi diminta untuk memeriksa kesan agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), lokasi di mana Kim Jong-nam dibunuh.

Bagaimanapun, orang ramai diberi jaminan bahawa lapangan terbang itu adalah selamat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat mendedahkan bahawa agen saraf VX adalah bahan yang digunakan untuk membunuh Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un pada 13 Februari lalu.

Ia diklasifikasikan sebagai senjata kimia di bawah Konvensyen Senjata Kimia, di mana ia diharamkan pada 1993.

Khalid, pada Jumaat berkata kesan agen saraf VX mungkin masih ada di kawasan dua suspek wanita yang telah ditahan, mencalit muka Jong-nam dengan bahan kimia tersebut atau di beberapa lokasi lain.


"Kita bimbang tentang perkara ini tetapi saya bukan pakar, jadi kita akan mendapatkan pakar-pakar untuk buat pemeriksaan," katanya, merujuk kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.

"Kita akan meminta mereka memeriksa kawasan-kawasan yang mungkin mempunyai kesan bahan kimia itu," katanya kepada pemberita.

Khalid juga menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk orang ramai menjauhi KLIA2 atau kawalan dibuat di kawasan tersebut.

"Biar kita periksa terlebih dahulu," katanya.

Khalid berkata polis sedang menyiasat bagaimana bahan kimia ini dibawa masuk ke negara ini.

"Tetapi jika jumlah sangat kecil, ia sukar untuk dikesan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan